Berita Utama

Harap kerajaan lebih sensitif elak buat pusingan U

Semak kredibiliti calon sebelum lantik jawatan kritikal

BANGI, 24 Syawal 1441H, Selasa – Kerajaan diharap akan lebih sensitif sebelum membuat sesuatu pelantikan bagi mengelakkan pusingan U yang memalukan khususnya untuk pelantikan jawatan kritikal.

Demikian kata Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil selepas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumumkan Eric Paulsen tidak lagi menjadi Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

Pelantikan Eric sebelum ini di bawah kementerian komunikasi mendapat bantahan dan tentangan banyak pihak termasuk gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA).

Eric terkenal dengan kelantangan beliau mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Islam dan institusi Islam.

Beliau pernah mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan di media sosial mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremis.

Kenyataan beliau yang menuduh Jakim menyebarkan fahaman itu pada setiap Jumaat dipercayai merujuk kepada khutbah solat Jumaat kepada umat Islam.

Eric juga pernah mengkritik pelaksanaan undang-undang hudud sebagai tidak berpelembagaan, zalim dan tidak sesuai pada zaman moden.

Selepas desakan bertalu-talu dari pihak NGO, KKMM hari ini mengumumkan Eric Paulsen tidak lagi menjadi Ahli MPKM.

KKMM berkata, keputusan itu tidak akan menjejaskan fungsi MPKM, yang baru ditubuhkan pada 9 Jun lalu.

Mengulas perkara itu, Isham yang juga Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor berkata, Eric dilucut jawatan sebagai ahli MPKM setelah maklum balas dari rakyat diambil kira.

“Sekurang-kurangnya semak sama ada calon itu tidak terpalit isu sensitif yang membabitkan agama dan perkauman serta tidak menipu sijil,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button