Berita Utama

Isu majikan tindas pelajar praktikal perlu dipandang serius: PEMBINA

Universiti perlu syor syarikat ada rekod baik pada mahasiswa

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 4 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) memandang serius isu penindasan majikan terhadap pekerja termasuk pelajar yang menjalani latihan industri di syarikat mereka.

Baru-baru ini tular di aplikasi TikTok dan Facebook, seorang pelajar praktikal kos pelancongan mendakwa diminta menjaga tempat parkir kereta ketika menjalani latihan industri dan hanya dibekalkan sebuah payung ketika panas terik. 

Meskipun ada pihak menganggap isu ini remeh, bagi Presiden PEMBINA, Wafiq Azman, ia dilihat sebagai satu diskriminasi dan mencerminkan ketidaksepadanan kerja dengan bidang pelajar berkenaan.

“Penindasan dan diskriminasi bukan sahaja berlaku terhadap pekerja, malah turut melibatkan pelajar yang menjalani latihan industri. 

“Ini bukan isu baharu, bahkan pihak kami berkali-kali menyuarakan isu latihan industri ini dalam beberapa isu.

“Iaitu isu penerimaan elaun latihan industri, isu ketidaksepadanan kerja terhadap graduan dan ketiadaan penempatan bagi mahasiswa untuk menjalani latihan industri,” katanya kepada Ismaweb.net.

Bagi mengelakkan situasi sebegini berlanjutan, Wafiq berkata, universiti perlu mengambil inisiatif berhubung rapat dengan pelajar supaya mereka memilih syarikat yang dipercayai dan mempunyai rekod yang baik untuk dijadikan tempat praktikal. 

“Saya yakin, universiti sememangnya telah memiliki database nama-nama syarikat yang pernah menerima pelajar dari universiti mereka untuk menerima pelajar latihan industri. 

“Jika tidak, mereka akan terdedah dengan syarikat-syarikat yang mempunyai rekod menindas pekerja dan pelajar,” katanya.

Tidak hanya bergantung kepada universiti, beliau berkata, para pelajar juga perlu memainkan peranan untuk menyemak dan mengenal pasti latar belakang dan rekod sesebuah syarikat itu. 

“Tambahan, carilah syarikat yang berkait dengan bidang yang diceburi dan bukan hanya memfokuskan kepada elaun semata-mata. 

“Jika tidak, anda akan diberikan kerja yang tiada kaitan dengan bidang. Secara tidak langsung anda telah mendedahkan diri untuk ditindas,” katanya.

Pada masa sama, Wafiq turut menggesa kerajaan supaya terlebih dahulu mewajibkan kementerian dan agensi-agensi di bawahnya supaya membayar pelajar yang mengikuti program latihan industri (praktikal) dengan elaun RM900, seperti mana yang dicadangkan kepada pihak swasta.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button