Pendapat

Hasil minyak, gas di Sabah dan Sarawak milik siapa?

Soal pemilikan perlu diselesaikan secara profesional

MENGIKUT statistik tahun 2012, 46 peratus simpanan (reserve) gas Malaysia terletak di Sarawak, 21 peratus di Sabah dan hanya lebih kurang 33 peratus di Semenanjung Malaysia. Manakala simpanan minyak pula 51 peratus terletak di Sabah, 23 peratus di Sarawak dan hanya lebih kurang 26 peratus di Semenanjung Malaysia.

2. Satu pihak menggunakan hujah bahawa Petroleum Development Act 1974 atau Act 144 memberikan hak keistimewaan penuh syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS untuk mencari gali serta mengeksploitasi hasil petroleum negara sama ada di darat ataupun di laut. Maka, kerajaan Malaysia yang merupakan pemilik syarikat ini mempunya hak penuh terhadap segala hasil petroleum di Sabah dan Sarawak.

3. Namun, satu pihak yang lain berpandangan PDA1973 bercanggah dengan Malaysia Agreement 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan. Mereka turut menggunakan hujah dalam Sarawak (Alteration of Boundaries) Order 1954 yang diluluskan oleh pihak penjajah British sebelum kemerdekaan yang menyatakan sempadan negeri Sarawak serta hak pemilikan segala hasil petroleum yang berada di dalam kawasan tersebut merupakan milik Sarawak.

4. Disebabkan hal ehwal pemilikan dan hak mengeksploitasi hasil petroleum tidak disebut dalam Inter Governmental Committee Report dan kemudiannya MA63, pihak ini berpegang kukuh dengan pendirian bahawa mereka masih memiliki hak penuh sebagaimana hal ehwal bahan galian dan tanah yang diletakkan di bawah kuasa kerajaan negeri.

5. Tambahan pula, Perkara 2 (b) dalam Perlembagaan Persekutuan menyebut walaupun Parlimen mempunyai kuasa mengubah sempadan negeri-negeri, namun ia haruslah mendapat consent (keizinan) negeri dan pihak majlis raja yang terlibat.

6. Perbezaan pandangan ini menjadi punca pergeresan antara dua pihak yang tidak berkesudahan. Sebagai contoh, Sabah dan Sarawak menuntut supaya royalti mintak dinaikkan sebanyak 20 peratus, namun kerajaan yang ketika itu dipimpin oleh Tun M menyatakan kerajaan Pusat tidak berkemampuan disebabkan krisis harga minyak dunia dan peningkatan kos pengeluaran sebagai faktor utama.

7. Pada Januari 2019, kerajaan negeri Sarawak meletakkan 5 peratus cukai jualan ke atas produk petroleum mengikut Sales Tax Ordinance 1998. Keengganan syarikat minyak dan gas negara ini untuk membayar (kerana berpendirian cukai yang dikenakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan) menyebabkan kes ini dibawa ke Mahkamah.

8. Kemudian pada bulan Mac 2020, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan bahawa Sabah dan Sarawak memiliki hak untuk mengenakan cukai jualan ke atas semua produk petroleum mengikut perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan.

9. Pada bulan lepas (Mei 2020), PETRONAS bersetuju untuk membayar sejumlah RM2 billion sebagai cukai jualan tertunggak kepada kerajaan negeri Sarawak, sebagai salah satu persetujuan dari pertikaian hak menguruskan hasil petroleum di negeri tersebut.

10. Persoalan pemilikan (penuh atau perkongsian) minyak dan gas di Sabah dan Sarawak perlu diselesaikan secara profesional mengikut lunas undang-undang serta semangat nasionalisme demi kesejahteraan dan keselamatan negara. Sebarang usaha melibatkan pengaruh politik serta pertembungan kuasa di antara parti-parti politik tanah air hanya akan memburuk keadaan dan tidak produktif bagi mencari jalan keluar terbaik dalam hal ini.

Moga Allah SWT selamatkan Malaysia, tanah pertiwi yang diberkahi dengan hasil mahsul yang amat kaya ini!

Kluster Tarbiyah ISMA
Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad

 Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close