Berita Utama

Kedah benar solat Jumaat, solat fardu berjemaah mulai Jumaat

Solat Jumaat minimum 40, maksimum 60 orang: Mufti

ALOR SETAR, 24 Syawal 1441H, Selasa –  Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah diadakan di semua masjid dan surau di negeri ini mulai Jumaat ini.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, bagi solat Jumaat, bilangan minimum jemaah adalah sekurang-kurangnya 40 orang dan maksimum 60 orang, sementara solat fardu pula dibenar didirikan dengan maksimum 40 jemaah.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, bilangan maksimum jemaah itu tertakluk kepada keluasan masjid atau surau dan kemampuan jawatankuasa kariah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

“Bagi mereka yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat zuhur dan dilakukan di tempat masing-masing. Solat fardu secara berjemaah juga dibenarkan di semua masjid dan surau mengikut keluasan dan kita juga minta jawatankuasa kariah untuk menyediakan ruangan solat kepada orang yang bermusafir.

“Bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau pula, laungan lafaz azan yang digunakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) sebelum ini akan dikembalikan kepada lafaz azan yang asal dan pengajian al-Quran dan kuliah dibenarkan selepas solat subuh dan maghrib, namun tidak melebihi 30 minit,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Syeikh Fadzil berkata, solat sunat Aidiladha dan ibadah korban juga dibenarkan namun jumlah kehadiran peserta pada satu-satu masa tertakluk kepada kesesuaian kawasan dan tempat dengan mengelakkan elemen sesak, sempit dan sembang dekat (3S).

“Agihan daging korban kepada peserta dan fakir miskin akan dilakukan dengan mengamalkan penjarakan sosial sementara majlis jamuan dan kenduri adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara itu dalam sidang media sama, Pengarah JHEAIK Mohd Yusri Md Daud berkata jumlah maksimum 60 jemaah yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat itu adalah untuk masjid kariah, institusi dan surau, manakala masjid negeri jumlah maksimum jemaah yang dibenarkan adalah 80 orang termasuk ahli jawatankuasa masjid.

“Masih ada had jumlah orang yang boleh datang menunaikan solat Jumaat jadi kita minta jawatankuasa masjid buat penggiliran untuk anak-anak kariah. Siapa yang hendak datang perlu daftar dahulu, kiranya tiada jemaah yang datang begitu sahaja kerana kita mahu elak jumlah yang ramai.

“Bagi solat fardu di masjid pula, jumlah jemaah adalah seramai 40 orang termasuk kakitangan masjid manakala di surau hanya 20 orang dibenarkan untuk menunaikan solat fardu. Bagi remaja yang berusia 15 tahun ke bawah mereka juga tidak dibenarkan datang ke masjid dan surau,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close