Berita UtamaDunia

Kes COVID-19 di Iran meningkat, lebih 9,000 kematian direkod

Angka harian meningkat kerana rakyat mengembara, keluar rumah

TEHRAN, 24 Syawal 1441H, Selasa – Kes kematian akibat COVID-19 di Iran mencecah 9,000 orang, selepas lebih 100 korban dicatatkan selama tiga hari berturut-turut.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Sima Sadat Lari berkata, angka berkenaan boleh meningkat, melainkan rakyat kekal duduk di rumah untuk tempoh beberapa minggu ini.

Katanya, peningkatan angka harian berpunca daripada sebahagian besar penduduk yang mengembara atau keluar rumah pada minggu kebelakangan ini.

“Kami minta anda untuk elak perjalanan tidak perlu semasa cuti akan datang supaya tidak berlaku peningkatan perangkaan pada masa depan,” katanya.

Cuti umum di Iran jatuh Rabu iaitu hari terakhir pada minggu bekerja menjadikan hari minggunya selama tiga hari bercuti.

Pada masa sama, Sadat Lari berkata, sebanyak 115 kematian baharu dicatat pada tempoh 24 jam lalu, menjadikan angka terkini mencecah 9,065 kes.

Katanya, sebanyak 2,563 yang lain diuji positif COVID-19, sekali gus menjadikan angka terkini sebanyak 192,439 kes sejak ia muncul di Iran.

Ahad lalu, Iran dilaporkan merekodkan 107 kematian angkara COVID-19, pertama kali mencecah 100 kes sejak 13 April.

Kes pertama COVID-19 di negara itu tercetus pada 19 Februari lalu dan kerajaannya bergelut untuk mengekang penularan pandemik berkenaan.

Lantaran itu, sesi persekolahan ditutup, acara awam secara besar-besaran ditangguhkan, malah perjalanan antara bandar turut dilarang.

Tindakan itu sebagai langkah mengekang penularan wabak itu pada Mac lalu, sebelum sekatan dilonggarkan secara beransur-ansur pada April.

Sadat Lari berkata, 10 daripada 31 wilayah di negara itu kini diklasifikasikan sebagai zon merah berikutan mempunyai kes tertinggi dan berskala risiko.

Isnin lalu, hanya lima wilayah diklasifikasikan sebagai merah di Iran.

“Kita sangat mengesyorkan anda menggunakan pelitup muka apabila keluar rumah. Pelitup muka buatan sendiri juga berkesan,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button