Berita UtamaDunia

Kes COVID-19 dunia mungkin melonjak, banyak negara longgar perintah berkurung

WHO tawar siasat kes di Beijing, hantar pasukan masa terdekat

GENEVA, 24 Syawal 1441H, Selasa – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kemungkinan kes jangkitan COVID-19 melonjak naik, apabila banyak negara mula mengurangkan perintah berkurung dan memberi kebenaran merentas sempadan.

Terbaharu, Beijing mengesahkan lebih 100 kes baharu, selepas tiada kes dicatatkan 50 hari berturut-turut.

Walaupun tiada kematian baharu direkodkan setakat ini, keluasan bandar Beijing dan hubungannya menyebabkan risiko penularan itu amat membimbangkan, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus

“Minggu lalu, China melaporkan kluster baharu di Beijing selepas 50 hari tiada kes di bandar itu, tetapi kini lebih 100 kes sudah disahkan.

“Punca dan jangkitan penularan ketika ini sedang dikesan,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Pengarah kecemasan WHO, Mike Ryan pula berkata, langkah segera dan komprehensif untuk menyekat penularan kluster baharu itu sedang dilakukan.

Katanya, WHO menawarkan bantuan dan sokongan kepada penguatkuasa China untuk membantu siasatan dan mungkin akan menghantar pasukan ke Beijing dalam masa terdekat.

“Kluster sebegini adalah penting dan perlu disiasat serta dikawal, inilah yang dilakukan China ketika ini,” katanya.

Setakat pagi ini, kes COVID-19 sudah menjangkiti 8,112,565 orang termasuk 439,050 kematian. Bagaimanapun 4,201,974 mangsa disahkan sembuh, sejak mula muncul di China, pada lewat Disember lalu.

Hampir 75 peratus kes COVID-19 dilaporkan di 10 negara, kebanyakannya di Amerika dan Asia Selatan tetapi kadarnya kini semakin meningkat di Afrika, timur Eropah, Asia Tengah dan Asia Barat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button