Berita Utama

Lantikan Paulsen jadi pengajaran, elemen liberal mesti dibanteras

Rakyat ada hak beri teguran untuk bina negara lebih baik

BANGI, 24 Syawal 1441H, Selasa – Majlis Ulama ISMA (MUIS) bersyukur dengan pengumuman Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini yang mana Eric Paulsen tidak lagi menjadi Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM)

“Alhamdulillah. Setelah segala tekanan dari rakyat, Eric Paulsen dipecat dari menganggotai majlis perundingan.

“Ini seharusnya mendidik masyarakat bahawa agama ini adalah nasihat. Elemen kemungkaran liberal harus dibanteras dan rakyat mempunyai hak untuk membantu dari aspek teguran dan nasihat bagi membina negara yang lebih baik,” kata Setiausaha MUIS, Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Terdahulu, selepas desakan bertalu-talu dari NGO-NGO, KKMM mengumumkan Eric tidak lagi menjadi Ahli MPKM.

Kementerian itu berkata, keputusan itu tidak akan menjejaskan fungsi MPKM, yang baru ditubuhkan pada 9 Jun.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan penubuhan MPKM sebagai satu platform bagi kerajaan membincang dan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh dalam merencanakan pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia.

MPKM dipengerusikan oleh menteri dan dianggotai 15 ahli yang merangkumi pengurusan tertinggi KKMM, wakil-wakil dari masyarakat sivil, ahli akademik, badan pemikir, pakar sesuatu bidang, badan profesional, badan perniagaan dan sebagainya.

Bagaimanapun, pelantikan baharu Eric di bawah kementerian komunikasi mendapat bantahan dan tentangan banyak pihak termasuk ISMA, Pertubuhan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ).

Selain itu, Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA) turut menyatakan bantahan terhadap pelantikan berkenaan.

Eric terkenal dengan kelantangan beliau mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Islam dan institusi Islam.

Beliau pernah mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan di media sosial mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremis.

Kenyataan beliau yang menuduh Jakim menyebarkan fahaman itu pada setiap Jumaat dipercayai merujuk kepada khutbah solat Jumaat kepada umat Islam.

Eric juga pernah mengkritik pelaksanaan undang-undang hudud sebagai tidak berpelembagaan, zalim dan tidak sesuai pada zaman moden.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button