Berita UtamaIstimewa

Mengapa Ka Siong terlalu ‘lindungi’ pemandu mabuk?

Apa yang menteri nakkan sebenarnya, ini soal nyawa

BANGI, 24 Syawal 1441H, Selasa – Kita tidak boleh berdiam diri dengan tindakan ahli politik atau menteri dalam menangani isu membabitkan pemandu mabuk.

Kes kematian disebabkan pemandu mabuk kerap berlaku dan sememangnya menggusarkan rakyat sehingga menjadi isu nasional selama beberapa minggu berturut-turut.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, rakyat mendesak supaya pemandu mabuk yang membunuh dikenakan hukuman mati.

Namun apabila Menteri Pengangkutan menyifatkan desakan ini sebagai sesuatu yang terburu-buru, ia amat mengecewakan kita semua.

“Saya hairan, mengapa menteri terlalu ‘protective’ pada pemabuk dan seolah-olah tidak simpati kepada mangsa yang mati dengan begitu tragis sekali?

“Apa yang menteri mahu lindungi sebenarnya? Rakyat benar-benar mahu tahu. Ini soal nyawa manusia yang telah banyak hilang, lebih-lebih lagi mereka yang telah mati ketika mencari rezeki, bekerja dan bertugas dengan penuh keikhlasan.

“Akhirnya, nyawa mereka melayang seolah-olah tiada nilai akibat mereka yang tidak bertanggungjawab,” luahnya kesal.

Memikirkan rasa pilu dialami keluarga mangsa kemalangan akibat sikap pemandu mabuk, Haji Aminuddin menyifatkan kenyataan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bahawa masyarakat tidak harus terburu-buru mendesak pemandu mabuk dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh sangat mendukacitakan.

“Apakah perasaan simpati yang mahukan keadilan ini dikira sebagai satu bentuk balas dendam? Sangat mendukacitakan.

“Jika dadah kita anggap begitu berbahaya sehingga negara isytihar perang terhadapnya, mengapakah tidak pada arak? Kita tidak mahu lebih ramai lagi orang yang mati sia-sia akibat kesilapan kita pada hari ini.

“Jika ada kemahuan, di situ ada jalan. Maka, kita usahakanlah. Isu-isu teknikal pasti boleh disimpulkan jika ada keinginan yang bersungguh-sungguh dari pihak kerajaan,” kata beliau.

Pada masa sama, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi PEMBELA menyarankan kerajaan untuk tidak terus menutup idea hukuman mati ini, sebaliknya merujuk kepada ahli-ahli akademik, NGO, tokoh masyarakat dan pakar undang-undang untuk sama-sama menjayakan agenda ini

“Kepada rakyat, masa mengikut segala kata-kata ahli-ahli politik secara membuta tuli sudah berakhir kerana kita sudah semakin bijak menilai.

“Pastikan ahli-ahli politik kita tidak boleh berbuat sewenang-wenangnya apabila berkuasa. Suarakanlah ketidaksetujuan anda, jangan hanya pendam sahaja,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan memaklumkan belum mencadangkan pindaan akta ke atas undang-undang sedia ada membabitkan pemandu mabuk termasuk hukuman jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, walaupun masyarakat mendesak pemandu mabuk dikenakan hukuman itu, kementerian berpendapat kes membabitkan pemandu mabuk perlu mengikut lunas undang-undang.

“Jika Seksyen 302 (Kanun Keseksaan) digunakan, ia perlu dibuktikan di mahkamah bahawa pemandu mabuk itu ada niat untuk membunuh.

“Kita tidak mahu mereka terlepas kerana niat itu tidak dapat dibuktikan. Jadi kita perlu mengikut lunas undang-undang. Betul kita geram tetapi tidak boleh ambil tindakan melulu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close