Berita Utama

Paulsen dilucut MPKM, tapi beliau masih wakil Malaysia ke AICHR

Bimbang berlaku fitnah mengenai hak asasi di pentas antarabangsa

BANGI, 24 Syawal 1441H, Selasa – Meskipun Eric Paulsen tidak lagi menjadi Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM), jangan kita lupa dan terleka beliau masih lagi menjawat jawatan sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR).

Serentak itu, Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya mendesak kerajaan mempertimbangkan juga tindakan yang sama untuk menggantikannya dengan individu lain yang lebih berkelayakan.

Desakan itu susulan bimbang berlakunya fitnah dan cerita palsu mengenai hak asasi manusia di pentas antarabangsa lebih-lebih lagi atas kapasiti Eric yang dilantik sebagai wakil Malaysia ke AICHR.

Haji Aminuddin berkata, pihak NGO-NGO akan terus memantau perjalanan kerajaan dan menegur segala apa yang tidak kena terutamanya dalam lantikan-lantikan yang sedia ada dan yang akan datang.

“Alhamdulillah, Eric Paulsen bukan lagi ahli MPKM. Tahniah dan terima kasih kepada semua NGO yang telah bangkit mendesak dan menekan. Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana proaktif mendengar desakan dan kegusaran rakyat dalam perkara ini.

“Kami sentiasa bersedia untuk berjumpa dengan pihak Perdana Menteri untuk agenda yang sama demi masa depan negara yang lebih cerah, mengikut acuan anak watan Malaysia dan Islam sebagai agama negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selepas desakan bertalu-talu dari NGO-NGO, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) hari ini mengumumkan Eric tidak lagi menjadi Ahli MPKM.

Kementerian dalam kenyataan itu berkata, keputusan itu tidak akan menjejaskan fungsi MPKM, yang baru ditubuhkan pada 9 Jun.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan penubuhan MPKM sebagai satu platform bagi kerajaan membincang dan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh dalam merencanakan pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia.

MPKM dipengerusikan oleh menteri dan dianggotai 15 ahli yang merangkumi pengurusan tertinggi KKMM, wakil-wakil dari masyarakat sivil, ahli akademik, badan pemikir, pakar sesuatu bidang, badan profesional, badan perniagaan dan sebagainya.

Bagaimanapun, pelantikan baharu Eric di bawah kementerian komunikasi mendapat bantahan dan tentangan banyak pihak termasuk ISMA, Pertubuhan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA).

Eric terkenal dengan kelantangan beliau mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Islam dan institusi Islam.

Beliau pernah mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan di media sosial mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremis.

Kenyataan beliau yang menuduh Jakim menyebarkan fahaman itu pada setiap Jumaat dipercayai merujuk kepada khutbah solat Jumaat kepada umat Islam.

Eric juga pernah mengkritik pelaksanaan undang-undang hudud sebagai tidak berpelembagaan, zalim dan tidak sesuai pada zaman moden.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close