Berita UtamaDunia

Thailand rekod sifar kes baharu sejak tiga minggu

Tamatkan pelaksanaan perintah berkurung di seluruh negara

BANGKOK, 24 Syawal 1441H, Selasa – Selepas lebih dua bulan, Thailand hari ini menamatkan pelaksanaan perintah berkurung di seluruh negara, dan membuka kembali lebih banyak perniagaan serta venue ketika situasi COVID-19 di negara itu bertambah baik, merekodkan hari ke-21 tanpa jangkitan tempatan.

Tiada kes dan kematian baharu dilaporkan di Thailand dalam tempoh 24 jam, dan 2,987 daripada 3,135 kes positif yang direkodkan telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital, manakala 90 masih berada di wad, dan 58 kes melibatkan kematian.

Semalam adalah fasa keempat kelonggaran dalam negara itu, di mana perniagaan dan venue ‘berisiko tinggi’ seperti sekolah dengan kurang daripada 120 pelajar, pusat tuisyen, taman permainan, taman tema, pusat jagaan kanak-kanak dan orang tua, seminar, persidangan, konsert dan pertandingan sukan tanpa penonton kembali dibenarkan beroperasi, namun pub, bar dan karaoke masih terus ditutup.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thailand (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata agensi berkaitan sedang mengkaji cadangan pendekatan ‘travel bubbles’ atau ‘koridor perjalanan’ kerana kemungkinan beberapa negara akan berhadapan gelombang baharu COVID-19.

Menurut beliau, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha secara prinsip telah bersetuju pada   Jumaat lepas untuk membuka semula sempadan negara kepada pelawat asing dengan mewujudkan travel bubbles dengan negara-negara yang berjaya mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Kami akan mendapatkan pilihan terbaik untuk negara. Travel Bubbles mampu menggerakkan semula ekonomi dan ia juga mungkin boleh menimbulkan risiko kesihatan. Isu ini memerlukan pertimbangan yang teliti,” katanya pada taklimat harian COVID-19.

Jumaat lepas, Thaweesilp berkata perjalanan boleh dibuka semula kepada pelawat perniagaan dan pelawat perubatan yang memerlukan perkhidmatan dan rawatan dari negara serta wilayah dengan jumlah kes COVID-19 yang rendah seperti China, Hong Kong, Taiwan, Macau, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Laos, Myanmar, Kemboja dan beberapa negara Timur Tengah.

Menurutnya sebuah jawatankuasa kecil akan bermesyuarat pada hari Rabu ini untuk membincangkan lebih lanjut mengenai konsep, langkah-langkah dan garis panduan sebelum membawa cadangan berkenaan kepada CCSA.

Sementara itu, Prayuth berkata kerajaan sedang meneliti setiap perincian dan aspek ketika membuka pintu untuk pelawat dari negara-negara terpilih.

“Perlu ada peraturan untuk pekara ini sebelum pelancongan antarabangsa disambung semula. Kita akan melakukannya selangkah demi selangkah. Kita akan lihat sama ada negara-negara yang bekerjasama turut mempunyai jalinan kerjasama antara bandar raya. Kerajaan sedang merancangnya dengan teliti,” katanya, seperti yang dipetik oleh Bangkok Post. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close