Berita Utama

Tun M dakwa individu ‘jual diri’ akan hancurkan negara bersama orang Melayu

Hampir semua anggota kerajaan utamakan upah lumayan

BANGI, 24 Syawal 1441H, Selasa – “ Percayalah, mereka yang sanggup menjual diri, mereka yang terima ‘cash is king’, mereka ini akan hancurkan negara bersama orang Melayu,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menawarkan jawatan kepada mereka yang lebih mengutamakan kepentingan diri sendiri berbanding perjuangan, hanya semata-mata untuk mendapatkan sokongan.

“Mereka ini sanggup lupa akan sebab mereka dipilih oleh rakyat. Mereka tidak pun berasa terhutang budi kepada rakyat.

“Yang mereka nampak ialah peluang dan upah dari tawaran oleh Muhyiddin. Untuk ini, mereka sanggup bekerjasama dan mendukung kleptokrat yang kononnya mereka benci dahulu.

“Dengan tindakan mereka ini ramai dalam kerajaan Muhyiddin terdiri dari perasuah yang utamakan diri sendiri,” tulisnya dalam blog CheDet, hari ini.

Bekas perdana menteri itu turut mendakwa, hampir kesemua yang mengganggotai kerajaan Muhyiddin juga terdiri daripada mereka yang mengutamakan jawatan dan upah yang lumayan.

Dakwanya, perjuangan mereka yang sebelum ini untuk menghapuskan kleptokrat dilupakan begitu sahaja, sebaliknya mereka memilih untuk bebas kleptokrat yang kini menjadi rakan mereka.

“Amat malang bagi rakyat yang telah kalahkan parti kleptokrat, tetapi sekarang sekali lagi mendapat kerajaan kleptokrat melalui pintu belakang,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir menegaskan bahawa, kerajaan kleptokrat yang akan menghancurkan Melayu sekiranya mahu melihat bangsa Melayu hancur.

Ini kerana, katanya, kehendak rakyat mudah untuk digugurkan.

“Dan kerajaan pemimpin mereka yang mudah mungkir janji, yang utamakan kepentingan diri, yang mudah terpengaruh jawatan dan upah, yang kebanyakan tidak mempunyai kelayakan selain dari menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, kerajaan seperti ini akan rosakkan dan hancurkan negara termasuk orang Melayu.

“Hari ini tokoh-tokoh di antara penyokong Muhyiddin ke sana ke sini untuk menawar jawatan dan wang untuk menambah sokongan. Siapa yang menolak tawaran mereka akan diugut dan didera,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close