Berita Utama

AG dapat kebenaran mula prosiding komital terhadap Malaysiakini

Bersetuju wujud kes prima facie bagi penghinaan mahkamah

PUTRAJAYA, 25 Syawal 1441H, Rabu – Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan ex-parte yang difailkan Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun bagi memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd dan Ketua Editor portal berita, Malaysiakini.

“Kami bersetuju wujud kes prima facie bagi penghinaan (mahkamah),” kata Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf yang mengetuai panel itu.

Beliau kemudian menetapkan 2 Julai untuk pendengaran prosiding komital itu.

Hakim Rohana yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Puan Sri Zaleha Yusof, juga menetapkan 25 Jun bagi pengurusan kes komital itu.

Mkini Dotcom merupakan pengendali portal berita tempatan, Malaysiakini.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching yang mewakili Peguam Negara berhujah Malaysiakini telah membenarkan komentar untuk disiarkan di bahagian komen artikel yang disiarkan pada 9 Jun dalam Malaysiakini bertajuk, CJ orders all courts to be fully operational from July 1.

Beliau berhujah komen itu mengandungi kenyataan yang menyinggung perasaan.

Loke berkata Peguam Negara menawarkan diri sebagai pemohon dalam perkara itu kerana beliau adalah penjaga kepentingan awam, sambil menambah ia adalah demi kepentingan masyarakat kerana kenyataan yang menyinggung perasaan telah dibuat terhadap badan kehakiman.

Loke berkata kenyataan itu adalah serangan secara tidak langsung terhadap Ketua Hakim Negara, para hakim dan badan kehakiman secara keseluruhan dan akan menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman, terhakis.

Beliau juga berkata kenyataan itu mendedahkan badan kehakiman terhadap skandal dan penghinaan masyarakat,” katanya.

Loke juga berhujah wujud kes prima facie bagi penghinaan itu, dan menambah berdasarkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, mereka (responden) dianggap telah menerbitkan kenyataan itu.

Seksyen 114A (1) menyatakan bahawa seseorang yang namanya, foto atau nama samaran muncul dalam apa-apa penerbitan yang menggambarkan dirinya sebagai pemunya, penganjur, pentadbir, editor atau penyunting, atau dengan apa-apa cara menerbitkan atau menyiarkan semula penerbitan dianggap telah menerbitkan atau menerbitkan semula kandungan penerbitan tersebut kecuali yang sebaliknya terbukti.

Sementara itu peguam A. Surendra Ananth yang mewakili responden berkata responden telah menghantar representasi kepada Peguam Negara petang semalam bagi pertimbangan untuk menarik balik kebenaran permohonan itu dan memohon mahkamah memberi penangguhan singkat.

Bagaimanapun, Loke berkata Peguam Negara telah mempertimbangkan permintaan itu dan ingin meneruskan permohonan tersebut.

Surendra memberitahu pemberita beliau akan berunding dengan anak guamnya sama ada untuk memfailkan permohonan bagi mengetepikan kebenaran prosiding komital itu atau teruskan prosiding itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close