Berita UtamaDunia

Hamas tuntut gencatan senjata tiga peringkat selama 135 hari dengan Israel

Gesaan supaya rejim Zionis hentikan keganasan di Masjid al-Aqsa

GAZA, 27 Rejab 1445H, Khamis – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menuntut perjanjian gencatan senjata tiga peringkat selama 135 hari, bagi menamatkan peperangan Israel di Gaza dan pertukaran tawanan Zionis dengan tahanan Palestin.

Menurut draf dokumen yang dilihat Middle East Eye, tawaran balas Hamas membayangkan tiga fasa gencatan senjata, setiap satu berlangsung selama 45 hari.

Semua wanita Israel, kanak-kanak di bawah umur 19 tahun, warga emas dan pesakit akan dibebaskan dari Gaza dalam fasa 45 hari pertama sebagai pertukaran untuk pembebasan semua tahanan wanita Palestin, kanak-kanak, pesakit dan warga emas berusia lebih 50 tahun dari penjara Israel.

Hamas juga menuntut Israel membebaskan 1,500 tahanan Palestin, termasuk 500 dengan hukuman penjara seumur hidup.

Peringkat pertama akan menyaksikan tentera Israel berundur dari kawasan pendudukan di Gaza, membenarkan rakyat Palestin merentasi Semenanjung Gaza dan membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendirikan khemah sebagai tempat perlindungan.

Bagi fasa kedua, semua tebusan lelaki Israel termasuk askar, akan dibebaskan dengan pertukaran tahanan Palestin yang jumlahnya ditentukan kemudian.

Manakala fasa ketiga, jenazah tawanan yang telah meninggal dunia akan ditukar. Menjelang akhir fasa ketiga, Hamas menjangkakan kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menamatkan perang.

Gencatan senjata itu juga akan meningkatkan aliran makanan dan bantuan lain ke wilayah yang diperang.

Dalam lampiran draf itu, Hamas turut menggesa agar keganasan Israel di Masjid al-Aqsa dihentikan, menuntut kembali status keselamatan masjid itu sebelum 2002.

Permintaan lain, Hamas menuntut supaya Israel menggesa negara-negara yang menghentikan dana kepada agensi UNRWA – menyambung semula bantuan mereka bagi keperluan penduduk Palestin yang kini hampir kebuluran. 

UNRWA adalah talian hayat penting bagi rakyat Palestin dan membantu kira-kira enam juta pelarian yang tinggal di dalam dan luar wilayah yang diduduki.

Terdahulu, beberapa negara, termasuk Austria, Australia, Kanada, Finland, Jerman, Itali, Jepun, dan United Kingdom (UK) mengikut telunjuk Amerika Syarikat (AS) dalam menggantung pembiayaan kepada agensi itu.

Pemberhentian pembiayaan mereka berlaku selepas dakwaan dibuat oleh Israel bahawa beberapa pekerja UNRWA terbabit dalam serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button