Berita UtamaDunia

Bank Dunia sedia AS$100 juta tangani krisis makanan Sudan

Manfaat kepada dua juta orang termasuk penduduk hilang tempat tinggal

KHARTOUM, 28 Zulhijjah 1443H, Khamis – Bank Dunia akan menyediakan dana melalui Program Makanan Sedunia (WFP) berjumlah AS$100 juta untuk menangani krisis makanan di Sudan, lapor Agensi Berita Anadolu.

Pertubuhan kemanusiaan itu dalam satu kenyataan berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk menyediakan makanan dan pemindahan wang tunai kepada lebih dua juta penduduk di seluruh negara.

“WFP di Sudan telah menerima sumbangan AS$100 juta daripada Bank Dunia untuk melaksanakan Projek Jaring Keselamatan Kecemasan Sudan yang baharu dilancarkan. 

“Projek ini bertujuan untuk menyediakan pemindahan wang tunai dan makanan kepada lebih dua juta orang di seluruh Sudan, termasuk orang yang kehilangan tempat tinggal dan kediaman,” katanya.

Ini merupakan sumbangan langsung pertama daripada Bank Dunia kepada WFP di Sudan.  

Peruntukan ini disediakan oleh Dana Amanah Sokongan Peralihan dan Pemulihan Sudan (STARS) diurus Bank Dunia yang disokong oleh Kesatuan Eropah, United Kingdom, Perancis, Jerman, Sweden, Arab Saudi, Belanda, Norway, Kanada, Itali, Finland, Sepanyol, Ireland serta Dana Pembinaan Negara dan Keamanan yang ditadbir oleh Bank Dunia.

WFP telah memberi amaran bahawa satu pertiga daripada penduduk Sudan berdepan masalah makanan, dan menyeru penderma antarabangsa untuk menyediakan tambahan dana AS$266 juta bagi menampung jurang kelaparan yang semakin meningkat.

“Walaupun sumbangan daripada Bank Dunia dan penderma STARS ini, WFP masih memerlukan sekurang-kurangnya tambahan AS$266 juta hingga akhir 2022 untuk mencapai lebih 10 juta orang yang terdedah seperti yang dirancang pada awal tahun ini,” katanya.

Menjelang September kira-kira 18 juta orang atau 40 peratus daripada penduduk negara itu dijangka mengalami kelaparan.

Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan penderma lain sebelum ini menggantung bantuan kepada Sudan susulan pengambilalihan tentera tahun lalu di tengah-tengah krisis politik yang mendalam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button