Berita Utama

Bina hagemoni bangsa beragama lebih baik dari menang pilihan raya

Individu rasuah, perjuang liberalisme tak boleh jadi pemimpin

BANGI, 25 Syawal 1441H, Rabu – Islam tidak akan tertegak melalui sistem pilihan raya yang menukar kerajaan semata-mata, sebaliknya kerja membina hagemoni sebuah bangsa beragama dan bertamadun lebih besar skopnya berbanding kerja memenangi pilihan raya, kata Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman. 

Beliau berkata, di Malaysia, hagemoni orang Melayu – politik, ekonomi, undang-undang, pendidikan, budaya, sejarah, identiti, tulisan dan seni – adalah unsur tonggak serta terpenting dalam binaan Islam bernegara. 

Tegasnya, Islam individu bertiangkan solat fardhu, manakala Islam bernegara di Malaysia adalah hagemoni orang Melayu yang berpaksikan Islam. 

“Pilihan raya boleh jadi alat membantu dan boleh juga jadi alat yang meruntuhkan cita-cita Islam itu, bergantung pada misi penggunanya. 

“Perpaduan dan kesepakatan umat Islam di Malaysia mestilah bermula pada titik utama dan dasar syariat. Al-Quran dan sunnah mesti dirujuk dan diguna pakai keseluruhannya, bukan secara selektif dan terpisah-pisah demi kepentingan puak,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Ustaz Mohd Hazizi mengingatkan bahawa hubungan akidah Islam jauh lebih mulia dan utama berbanding hubungan politik kepartian. 

“Wala’ sesama muslim yang sabit dalam terlalu banyak ayat yang muhkamat adalah satu perkara yang suci, tidak boleh sewenang-wenangnya dilanggar. 

“Hubungan suci ini adalah prasyarat bagi binaan agama bernegara dalam noktah nombor lima di atas,” katanya. 

Oleh sebab itu, beliau berkata, memandang remeh isu berkenaan atas alasan kepentingan politik kepartian adalah sikap sambil lewa seseorang terhadap agama. 

“Ia petanda yang membezakan muslim yang komited atau multazim dan muslim yang liberal atau longgar pegangan agamanya.

“Orang yang telah terbukti bersalah dalam isu berkaitan kepentingan awam, seperti salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah, berbohong, memberi persaksian dusta, qazaf, juga orang yang telah berterus terang mendokong dan memperjuangkan ideologi yang bertentangan Islam seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme agama dan sebagainya, tidak boleh diangkat sebagai pemimpin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close