Calon PM: PH belum ada keputusan muktamad – Anwar Ibrahim
Telah buat keputusan tetapi perlu rujuk juga dengan teman lain

KUALA LUMPUR, 25 Syawal 1441H, Rabu – Pakatan Harapan (PH) masih belum mempunyai keputusan muktamad berkaitan calon Perdana Menteri yang akan mewakili gabungan itu, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Presiden PKR, berkata walaupun terdapat banyak gesaan, pihaknya perlu mengambil pandangan pelbagai pihak bagi mencapai kata sepakat berkaitan perkara itu.
“PH sebagai satu badan memang telah buat keputusan tetapi kita perlu rujuk juga dengan teman-teman lain termasuk Warisan dan kelompok Bersatu di bawah pimpinan Tun (Dr) Mahathir (Mohamad),” katanya dalam menerusi siaran langsung di laman Facebook peribadi beliau hari ini.
Semalam, media melaporkan Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan parti itu ada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan calon Perdana Menteri, dan memaklumkan parti akan mengeluarkan kenyataan rasmi apabila keputusan muktamad sudah dicapai. – Bernama