Dunia

Taufan al-Aqsa: Yaman sertai Hamas jika AS campur tangan

Sedia ambil bahagian tentang Israel dengan peluru berpandu, dron

RAMALLAH, 25 Rabiulawal 1445H, Rabu – Yaman mengancam untuk menyertai serangan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) ke atas Israel sekiranya Amerika Syarikat (AS) terlibat secara langsung dalam konflik itu.

Amaran itu dikeluarkan Ketua Kumpulan Houthi, Abdul Malik al-Houthi dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh televisyen Al-Masirah, kendalian kumpulan itu.

“Kami berada dalam penyelarasan sepenuhnya dengan saudara-saudara kami dalam paksi penentangan.

“Jika Amerika campur tangan secara ketenteraan secara langsung, kami bersedia untuk mengambil bahagian (menentang Israel) dengan serangan peluru berpandu dan dron serta pilihan ketenteraan lain,” katanya.

Isnin lalu, AS menghantar USS Gerald R. Ford, kapal pengangkut pesawat terbesar di dunia ke arah Israel.

“Peningkatan postur ini bertujuan untuk menjadi demontrasi yang tidak berbelah bahagi dalam tindakan, dan bukan sahaja dalam perkataan, sokongan AS untuk pertahanan Israel,” kata Pentagon.

Israel meneruskan serangan udaranya di Semenanjung Gaza untuk hari ketiga pada Selasa, berikutan serangan berselang Hamas ke atas bandar-bandar Israel berhampiran wilayah tepi laut.

Selain bertindak balas dengan serangan udara besar-besaran di Semenanjung Gaza, Israel turut mengenakan sekatan sepenuhnya di wilayah yang menempatkan hampir 2.2 juta rakyat Palestin.

Sekurang-kurangnya 900 rakyat Palestin terbunuh dalam pengeboman Israel di Gaza, manakala Israel mendakwa 1,200 rakyatnya terbunuh akibat serangan Hamas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button