Pendapat

GLC dan kekayaan negara

Campur tangan parti punca GLC jadi kenderaan untuk kepentingan politik

1.  KECOH baru-baru ini tentang isu kenaikan mendadak bil elektrik sepanjang tempoh PKP dan kemudiannya terkait kontroversi betapa tingginya gaji CEO TNB. Untuk memahami isu ini secara keseluruhan, bagus jika kita dapat memahami konsep Government Link Companies (GLC) terlebih dahulu.

2.  GLC merupakan entiti korporat (swasta atau awam) yang dimiliki kerajaan sesebuah negara bagi menjalankan aktiviti komersil dan pelaburan untuk  menjana keuntungan bagi kegunaan pembangunan negara. Biasanya GLC memainkan peranan dalam sektor penting negara seperti ekonomi, teknologi, sosial, infrastruktur dan pengangkutan (darat, air dan udara).

3.  GLC berbeza berbanding syarikat korporat lain kerana selain menjana keuntungan, GLC turut bertanggungjawab menjayakan objektif polisi-polisi awam (public policy objective) serta memastikan keselamatan aset-aset penting negara. Atas dasar inilah syarikat GLC Malaysia sebagai contoh menguasai 93% sektor utiliti negara dan 80% sektor pengangkutan negara.

4.  Pada tahun 2017, lebih kurang 42% pasaran saham Malaysia dimonopoli oleh 7 GLC utama negara iaitu Khazanah Nasional Berhad (RM265.1 Billion), PNB (RM186.3 Billion), PETRONAS (RM172.6 Billion), KWSP (RM31.2 Billion), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (RM15.7 Billion) dan Lembaga Tabung Haji (RM11.8 Billion).

5.  Antara CEO syarikat GLC yang menerima gaji tahunan tertinggi mengikut rekod tahun 2017 ialah IHH Healthcare Berhad (RM33.89 juta), Malayan Banking Berhad (RM10.11 juta), CIMB Group Holding (RM 9.89 juta) dan Sime Darby Plantation (RM 7.86 juta). Gaji tahunan CEO TNB pada tahun 2017 ialah sebanyak RM7.25 juta. Tapi jika dibandingkan dengan CEO syarikat awam lain yang turut banyak dibantu kerajaan memerintah secara tidak langsung, gaji mereka jauh lebih tinggi. Contohnya gaji tahunan CEO Genting Berhad (RM168 juta) dan Public Bank Berhad (RM27.84 juta).

6.  Penubuhan GLC secara langsung menjayakan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) untuk melahirkan lebih ramai  ahli perniagaan Melayu serta mengimbangi pembahagian kekayaan negara yang sebelum ini didominasi bangsa monoriti. Namun, campur tangan politik kepartian yang melampau menyebabkan GLC digunakan sebagai kenderaan untuk kepentingan ahli politik, terjebak ke dalam permasalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang akhirnya menyebabkan ketirisan kekayaan negara dan mengikis kepercayaan rakyat terhadap entiti ini.

7.  Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dan CEO syarikat GLC hendaklah dilantik dan diberikan imbuhan semata-mata berdasarkan merit dan prestasi tanpa campurtangan atau tekanan politik. Pada pandangan saya, jumlah gaji, elaun dan bonus yang diperolehi hendaklah berbaloi dengan skop tugas, saiz syarikat serta pulangan keuntungan yang dibawa masuk demi kepentingan negara. Keuntungan yang dijana GLC pula harus terus memberikan manfaat serta mengurangkan bebanan ekonomi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Jika objektif asas ini tidak berjaya dicapai, apa maknanya kewujudan GLC yang banyak dan amat kaya ini?

Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button