Berita Utama

Hina mahkamah: AG berhak laksana prosiding ke atas Malaysiakini

Bincang, kritik keputusan mahkamah boleh tetapi jangan sampai hina

BANGI, 25 Syawal 1441H, Rabu – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhak memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap portal berita tempatan, Malaysiakini dan Ketua Editornya, Steven Gan.

Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tidak timbul isu ketidakadilan prosiding itu dibuat ke atas Malaysiakini meskipun yang menghina mahkamah adalah komen dari pembaca.

Beliau menjelaskan, Peguam Negara memohon kebenaran tersebut antara lainnya adalah berdasarkan kepada Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.

Seksyen 114 A, “Andaian Fakta dalam Penerbitan”, merupakan pindaan terhadap Akta Keterangan 1950 yang telah diwartakan dan mula berkuat kuasa mulai 31 Julai 2012.

“Secara peribadi berpendapat, seksyen 11A Akta Keterangan 1950 ini adalah satu undang-undang yang diwujudkan bagi mendepani perkembangan dunia siber dan khususnya media baru seperti Facebook, blog, tweet dan lain-lain lagi.

“Seksyen 114A tersebut boleh diguna pakai dalam kes jenayah dan juga sivil, mengandaikan bahawa pemilik, pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web atau pemilik komputer.

“…. atau peralatan mudah alih dianggap bertanggungjawab menyiarkan atau mengulangsiarkan isi kandungan yang terdapat pada rangkaian, laman web atau peralatan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, daripada sudut pandang sebagai pengamal undang-undang, seksyen ini secara umumnya tidak begitu ‘membebankan’ pihak pembelaan (Malaysiakini) di dalam penghujahan atau pembelaan di Mahkamah.

Ini kerana, katanya, seksyen ini adalah berstatus ‘anggapan’ yang mana bagi mematahkan atau menidakkan anggapan ini, peringkat pembuktian hanya di atas kadar imbangan keberangkalian sahaja (balance of probabilities). 

“Maka, secara ringkasnya, anggapan seksyen ini banyak membantu pihak pendakwaan dan di masa-masa tertentu boleh juga membantu pihak pembelaan.

“Manakala kesan seksyen 114A ini kepada rakyat maheran terutamanya kepada pengguna media baru dan dunia siber, seksyen ini, memberi masalah sekiranya wujud pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab di dalam memanipulasikan identiti/ketuanpunyaan di dalam melakukan apa-apa tindakan ‘penulisan’ di dalam media sosial dan dunia siber,” katanya lagi.

Justeru, berdasarkan kepada seksyen ini, beliau berkata, sesiapa yang membenarkan publikasi sesuatu perkara adalah dianggap bertanggungjawab terhadapnya walaupun dia tidak menulisnya. 

“Peguam Negara dalam kes ini mendakwa Malaysiakini dianggap sebagai membuat penerbitan komen-komen yang menghakis kepercayaan rakyat terhadap mahkamah berdasarkan seksyen tersebut. Ia bukan sabitan tetapi masih di peringkat anggapan.

“Ia tidak berkaitan dengan kebebasan wartawan melaporkan berita selagi mana ia mematuhi undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Zainul Rijal menegaskan, beliau tidak mengalu-alukan sebarang penghinaan ke atas mahkamah. 

“Kita boleh mengkritik keputusan mahkamah dan membincangkannya tetapi tidak sampai menghina mahkamah tersebut.

“Jadi tugas Malaysiakini dalam prosiding ini nanti ialah mematahkan anggapan tersebut untuk mengelak dari dikenakan tindakan penghinaan mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Idrus memfailkan permohonan ex-parte untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Malaysiakini dan Ketua Editornya.

Dalam afidavitnya, Idrus berkata permohonan untuk prosiding komital itu berkaitan komen dalam artikel bertarikh 9 Jun lalu bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1 (https://www.malaysiakini.com/news/529385)”.

Mengetengahkan lima komen, Idrus berkata, komen-komen dirujuk dengan jelas membawa maksud badan kehakiman melakukan salah laku, terlibat dalam aktiviti rasuah, tidak menegakkan keadilan dan mengkompromi integriti badan kehakiman.

“Komen-komen tersebut menggugat keyakinan awam terhadap badan kehakiman dan secara nyata berniat menjatuhkan nama baik pentadbiran keadilan oleh badan kehakiman,” kata Idrus.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button