Berita Utama

Instrumen keadilan negara rosak dipengaruhi pemerintah

Amalan rasuah meruncing sehingga agama, bangsa boleh dijual beli

BANGI, 25 Syawal 1441H, Rabu – Pergaduhan serta kemelut politik di Malaysia telah mengheret instrumen negara sehingga merosakkan banyak perkara termasuk sistem keadilan, kepercayaan rakyat dan konsep ‘rule of law’, kata Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman. 

Mengulas situasi semasa negara hari ini, beliau menyifatkan, suasana politik juga mengheret sistem keadilan menjadi tidak bebas dan sentiasa dipengaruhi oleh pihak tertentu termasuk pemerintah. 

Katanya, walaupun tidak terkejut dengan keadaan semasa negara sekarang, namun beliau mengakui terdapat satu trend yang membimbangkan membabitkan salah laku rasuah sehingga menganggu sistem keadilan di Malaysia.

“Adakah sistem keadilan kita bebas? Kalau bebas sepatutnya itu tidak mempengaruhi walaupun siapa menjadi pemerintah. 

“Tetapi sekarang yang memerintah mempengaruhi. Ketika Tun M perintah, Datuk Seri Najib didakwa, pemimpin UMNO dan BN disiasat, tetapi apabila BN dalam kerajaan mereka tidak lagi disiasat,” katanya dalam laporan khas Politik Malaysia Bertunjangkan Rasuah di TV Pertiwi.  

Abdullah Zaik berkata, situasi itu sekali gus menimbulkan persoalan besar kepada rakyat, apakah negara mempunyai sistem keadilan yang bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. 

“Kalau zaman dahulu, Datuk Seri Anwar (Presiden PKR) didakwa di mahkamah dan bercerita bahawa sistem kehakiman negara sudah runtuh. 

“Tetapi, apabila dia memerintah benda sama juga berlaku dan tiada perubahan pun pada sistem kehakiman. Bermakna amalan sama juga berlaku,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut bimbang dengan amalan rasuah yang berlaku di Malaysia, kerana disifatkan sangat kritikal dan bahaya apabila banyak perkara mudah ditawar serta dijual beli. 

“Segalanya boleh dijual beli, ada harga yang boleh ditawarkan oleh pihak berkepentingan hatta dalam perjuangan agama dan bangsa juga mereka jual. 

“Mereka dapatkan harga di sebalik perjuangan itu, sebab itulah perjuangan agama dan bangsa masih berada pada takuk yang lama,” katanya. 

BOLEH TONTON VIDEO PENUH TV PERTIWI DI SINI

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close