Berita UtamaDunia

Jordan tentang rancangan jahat rejim Israel

Raja Abdullah II sifatkan tindakan bakal ganggu usaha perdamaian

AMMAN, 25 Syawal 1441H, Rabu – Jordan menyuarakan penentangan terhadap pelan rejim Israel untuk mengilhakkan (annex) sebahagian tanah-tanah Palestin yang dijajah, dengan mengatakan bahawa rampasan tanah itu membahayakan usaha pendamaian dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Bercakap dalam sidang video dengan pemimpin dan jawatankuasa kongres Amerika Syarikat, Raja Jordan, Raja Abdullah II menegaskan bahawa desakan Israel untuk mengilhakkan tanah Palestin itu mengancam kestabilan di Timur Tengah.

“Apa-apa langkah unilateral Israel untuk merampas tanah di Tebing Barat tidak dapat diterima dan melemahkan prospek mencapai keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.

Menurut kenyataan istana kerajaan, Raja Abdullah II juga menekankan bahawa kedamaian hanya akan datang dengan terciptanya sebuah ‘negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan berdaya maju’ dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.

Beliau turut mengatakan bahawa Israel harus menarik diri dari wilayah yang didudukinya selama Perang Enam Hari pada tahun 1967.

Pentadbiran koalisi Israel, yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu merancang untuk mengilhakkan ke atas permukiman Tebing Barat dan Lembah Jordan – sekitar 30 peratus Tebing Barat – mulai 1 Julai. Rejim Tel Aviv terus memegang  kawasan itu sejak 1967.

Presiden AS, Donald Trump memberi Tel Aviv ‘lampu hijau’ untuk merebut tanah dalam ‘perjanjian abad ini’ yang diisytiharkan sendiri, yang dilancarkan pada Januari dengan tujuan untuk mengesahkan pendudukan Israel dan melukis kembali peta Timur Tengah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button