Berita Utama

N. Sembilan benar solat Jumaat di semua masjid, surau mulai 19 Jun

Masjid serta surat perlu patuhi SOP ditetapkan oleh pihak berkuasa

SEREMBAN, 25 Syawal 1441H, Rabu – Semua masjid dan surau Jumaat di Negeri Sembilan dibenarkan melaksanakan solat Jumaat bermula 19 Jun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perkara itu telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

“Semua masjid dan surau terbabit harus menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang sama yang dilaksanakan oleh lapan masjid pada dua Jumaat sebelum ini.

“Berdasarkan solat Jumaat yang telah dilaksanakan sebelum ini kita lihat masyarakat berjaya mematuhi SOP dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Aminuddin juga berkata bagi masjid dan surau di kawasan kampung, memadai mereka merekodkan kehadiran jemaah secara manual berbanding mengimbas kod QR yang dilaksanakan di sesetengah masjid dan surau lain di negeri itu.

“Jumlah jemaah bergantung pada keluasan masjid dan surau tetapi mesti kurang daripada kapasiti sebenar bagi mematuhi jarakan sosial,” katanya.

Bagi rumah ibadat bukan Islam, Aminuddin berkata pihak berkenaan akan bermesyuarat esok dan premis terbabit dijangka dapat beroperasi kembali bermula minggu depan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close