Berita UtamaIstimewa

Orang Melayu sudah lama terpinggir sejak zaman Tun M lagi

Zaman ini rakyat perlu semak imbang kerajaan, tolak sikap partisan

BANGI, 25 Syawal 1441H, Rabu – Meskipun kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih terlalu awal untuk dinilai, namun ia bukanlah satu kejutan jika pemimpin tetap mengulangi kesilapan sama sebagaimana kerajaan terdahulu, kononnya dengan alasan ‘inilah sepak terajang politik’.

Lantaran itu, Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, zaman ini adalah zaman di mana rakyat tidak boleh taksub kepada mana-mana parti mahupun pemimpin.

Katanya, rakyat perlu berani menjadi komponen semak imbang melalui pergerakan pertubuhan bukan kerajan (NGO) dan memanfaatkan segala ruang teknologi media sedia ada.

“Dengan ini, kita akan mewujudkan satu sistem politik yang matang dan akhirnya parti-parti politik akan berhenti melakukan sesuka hati dan mula memberikan yang terbaik untuk rakyat.

“Perkara ini pastinya boleh dicapai jika rakyat cakna dengan isu-isu semasa dan bijak menilai berlandaskan neraca dan naratif pemikiran yang betul mengikut kerangka watan yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Kita perlu pastikan semua ‘dinosaur-dinosaur’ politik ini pupus pada PRU akan datang dan menjadi titik tolak ke arah nafas baru politik tanah air, baik di pihak PN mahupun Pakatan Harapan (PH). Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata sedemikian sebagai mengulas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa, kerajaan kleptokrat yang akan menghancurkan Melayu.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, ini kerana kehendak rakyat mudah untuk digugurkan.

Membidas dakwaan itu, Haji Aminuddin berkata, orang Melayu sudah lama terpinggir sejak zaman Dr Mahathir lagi sebenarnya.

Buktinya dapat dilihat apabila tanah-tanah milik orang Melayu sudah tinggal terlalu sikit dan banyak tergadai sejak zaman itu lagi, malah di kawasan-kawasan tertentu, ada sampai hampir lenyap, katanya.

Bahkan katanya lagi, rakyat tidak pernah lupa akan hakikat kes-kes rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan seumpamanya bukannya wujud baru-baru ini sahaja, malah sejak sebelum zaman Dr Mahathir lagi dan pada zaman beliau juga sangat berleluasa.

“Walau bagaimanapun, tidaklah mengatakan orang Melayu redha dengan kerosakan yang ada pada hari ini. Orang-orang Melayu sendiri yang telah bangkit menyokong Dr Mahathir pada PRU-14 dengan harapan nasib mereka dapat bertambah baik dan dapat menghapuskan segala amalan-amalan yang rosak integriti itu.

“Tetapi ternyata, kerajaan baharu tersebut bukan sahaja banyak masalah integriti sebagaimana yang dahulu, tetapi ditambah lagi dengan isu-isu yang menekan kaum Bumiputera dan agama Islam dengan begitu dahsyat sekali dalam tempoh hanya 22 bulan dan akhirnya mereka tidak dapat menahan lagi kesabaran mereka.

“Ditambah lagi dengan kemelut politik dalaman kerajaan antara Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang banyak merugikan rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button