Berita Utama

PEMBELA desak Selangor beku, tarik balik lesen jual arak

Tuntut Ka Siong pinda hukuman mati mandatori jangan lagi berbelit

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

SHAH ALAM, 25 Syawal 1441H, Rabu – Selepas Pahang, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) meneruskan misi menggesa permohonan baharu lesen penjualan arak dibekukan serta menarik balik semua lesen sedia ada di premis yang diluluskan di Selangor.

Dalam surat mengandungi enam tuntutan yang diserahkan kepada Menteri Besar Selangor melalui Setiausaha Sulitnya hari ini, PEMBELA menuntut tindakan sedemikian supaya penjualan minuman keras tidak lagi dibuat secara terbuka dan disalah guna oleh pembeli.

Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masridzi Sat berkata, pihaknya turut menggesa kerajaan negeri menarik balik semua lesen kebenaran operasi kilang pembuatan arak yang menjadi punca kepada kemalangan, jenayah dan kerosakan dalam negeri ini serta negara.

“PEMBELA menggesa kerajaan negeri memberikan pembelaan, kebajikan sara hidup dan keadilan undang-undang untuk keluarga mangsa yang cedera dan terkorban akibat daripada bencana pemandu mabuk serta jenayah lain akibat arak.

“Bencana arak ini bukan tragedi kemalangan sahaja, bahkan banyak lagi kerosakan yang berlaku. Dalam kes jenayah membabitkan punca arak akhirnya mencetuskan jenayah (lain).

“Ini juga boleh kita semak dalam statistik jenayah yang ada dalam negeri ini khususnya bahawa sebagaimana dadah menyebabkan berlakunya banyak jenayah begitu jugalah arak,” katanya dalam sidang media di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini hari ini.

Ustaz Masridzi berkata, PEMBELA menggesa supaya kerajaan negeri dapat membebaskan Selangor dari bencana arak kerana dalam hadis nabi ia disebut sebagai ibu segala kejahatan yang merosakkan akal dan moral.

Katanya, kerajaan negeri juga digesa meminda akta pihak berkuasa tempatan (PBT) serta akta berkaitan agar arak tidak boleh diminum dan dijual secara terbuka kerana orang bukan Islam mesti menghormati hak orang Islam untuk hidup dengan aman dalam negara ini.

“Mereka yang minum, menjual arak telah menganggu ketenteraman majoriti Islam dalam negara ini kerana menjadi mangsa kepada masalah jenayah ini (berkaitan arak). Mereka sebenarnya telah melakukan kezaliman kepada pribumi Melayu Islam dalam negara ini.

“Selain itu, kami mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong agar segera meminda undang-undang mandatori hukuman mati yang tegas kepada pemandu mabuk yang menjadi pembunuh di jalan raya.

“Tiada kompromi dan jangan memberi kenyataan yang berbelit-belit seolah-olah cuba melindungi penjenayah dengan tidak mempedulikan nasib mangsa, keluarga mangsa serta rakyat majoriti Islam yang marah serta sensitif dengan kes jenayah pemandu mabuk dan industi arak yang memberikan bencana besar kepada negara ini,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close