Berita Utama

Pendekatan ‘tak cakap tapi bikin’ PM, buat DAP buntu jatuhkan PN

Kerana mereka sedar kerajaan PH dulu 'cakap tapi tak bikin'

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 25 Syawal 1441H, Rabu – Satu-satunya ‘senjata’ parti tamak haloba DAP untuk menggegarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak stabil adalah dengan memainkan isu bilangan kerusi yang mereka mampu raih di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agong Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad mendakwa, isu itu akan dimainkan sekali pun dengan cara tidak berhemah memandangkan isu negara mereka gagal meraih sokongan rakyat.

“Ini satu-satunya senjata yang DAP ada. Kebetulan pula PN berdepan krisis ketidakbolehpercayaan dengan beberapa muka yang diragui kesetiaan mereka dalam berparti dan bersekutu di bawah naungan PN, kesempatan inilah saja yang ada untuk DAP menjalankan peranan sebagai pembangkang.

“Sebagai pembangkang, DAP tiada isu nak jatuhkan PN sebab mereka tahu Perdana Menteri kelapan ‘tak cakap tapi bikin’, mereka dulu ‘cakap tapi tak bikin’. Bahkan parti itu sudah cukup mahir akan peranan mereka seperti wajib terus bersuara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.

Dalam pada itu, Hasan mendakwa, meskipun dalam berpolitik DAP ‘membawa’ PH lebih stabil, namun dalam penerimaan rakyat, PN menjadi pilihan mereka.

“Rakyat sudah beralih dan melupakan PH. PH tahu dan sebab itu mereka cuba mengelakkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diawalkan dan memilih untuk menarik pelompat di kalangan 222 kerusi itu.

“Sementara PN pula takut PRU awal kerana isu kesetiaan kesepakatan masih rapuh. Ibarat pokok cantuman, belum kukuh melekat,” dakwanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menyarankan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membubarkan Parlimen, sebaliknya menyerahkan kerajaan kepada PH Plus secara terhormat atas dakwaan sudah mempunyai majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Alasannya, Muhyiddin tidak harus memohon pembubaran Dewan Rakyat kerana ia dapat menjimatkan RM100 juta wang rakyat untuk pembayaran pencen kepada anggota Kabinet Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, DAP juga menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerjasama melawan Perdana Menteri serta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong berkata, sekiranya kedua-dua pemimpin itu tidak bekerjasama, jumlah kerusi dimiliki Pakatan Harapan dan sekutunya (PH Plus) akan berpecah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button