Berita Utama

Penganggur dipenjara 4 tahun, rompak guna pisau

Turut hunus pisau untuk cederakan pekerja kedai serbaneka

KUALA LUMPUR, 25 Syawal 1441H, Rabu – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan merompak seorang juruwang di sebuah kedai serbaneka dengan bersenjatakan sebilah pisau.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Noor Marhan Mat, 40, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 22 Mac lepas.

Tertuduh didakwa merompak seorang lelaki warga Bangladesh Sabuj Md, 34, bersenjatakan pisau di kedai itu di Jalan Pahang, di sini pada 4.30 petang, 22 Mac lepas mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, dibacakan bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian tertuduh yang membawa sebilah pisau berukuran 22 sentimeter telah memaksa mangsa untuk memberikan wang kepadanya tetapi mangsa berkeras lalu tertuduh melibas pisau ke arah mangsa sehingga cedera di lengan kanannya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal, mengambil kira mangsa mengalami kecederan di lengan semasa kejadian, bagaimanapun Mohd Noor Marhan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

Di mahkamah sama, seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah merompak di kelab snuker serta mengambil wang RM9,683.00 dan 35 kotak rokok pelbagai jenama.

Emilia Kaswati menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Shazdrol Azuan Sahrudin, 26, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 9 Jan lepas.

Lelaki itu didakwa bersama-sama tiga individu masih bebas melakukan kesalahan berkenaan di Viking Club, Jalan Bubut, Kepong Baru di sini pada 3.20 pagi, pada 7 Jan 2019 mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebat.

Noor Dayana memohon hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button