Berita Utama

PRK Chini: Tiada perarakan penyokong dibenarkan pada penamaan calon

SPR saran bakal calon buat bayaran deposit secara atas talian lebih awal

BANGI, 25 Syawal 1441H, Rabu – Hanya calon, pencadang dan penyokong sahaja yang dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, pada Sabtu ini. 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, dan sebarang aktiviti berkumpul atau perarakan juga tidak dibenarkan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Justeru, katanya, SPR menggesa semua calon dan parti politik terbabit supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika serta arahan yang dikeluarkan pihaknya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRK Chini agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang sebelum hari penamaan calon. 

“Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah disarankan untuk membuat pembayaran deposit secara atas talian lebih awal,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Azhar mengingatkan bakal calon supaya resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran bagi memastikan semua proses dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar. 

“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

“SPR berharap agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik, khususnya yang boleh menganggu ketenteraman awam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close