Berita Utama

Persatuan perubatan bantah sistem syif KKM, mahu jumpa PM

Sistem dibantah kerana kekurangan tenaga kerja, infrastruktur

KUALA LUMPUR, 26 Syawal 1441H, Khamis – Persatuan berkaitan perubatan membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan sistem syif baharu di klinik kerajaan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan bagi menyelesaikan isu itu.

Dalam kenyataan bersama hari ini, persatuan terbabit berkata keputusan melibatkan petugas perlu diberi perhatian yang serius kerana mereka merupakan tonggak dan penyumbang utama ke arah kejayaan perancangan organisasi.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam, Persatuan Farmasi Malaysia, Persatuan Jururawat Malaysia, Kesatuan Jururawat Malaysia dan Kesatuan Pemandu-Pemandu Kementerian Kesihatan Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, tinjauan dalam talian mengenai perkara tersebut oleh MMA dari 22 hingga 28 Mei lepas menunjukkan 92 peratus daripada 9,320 responden membantah pelaksanaan sistem berkenaan.

Menurut kenyataan itu, sistem tersebut dibantah atas faktor kekurangan tenaga kerja serta infrastruktur yang memerlukan penilaian dan penyelidikan terperinci bagi memastikan pelaksanaan yang lancar. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button