Berita Utama

20 Ketua Bahagian Bersatu Johor nyata sokongan kepada Muhyiddin

Turut ucap terima kasih serta penghargaan kepada Tun M

JOHOR BAHRU, 26 Syawal 1441H, Khamis – Sebanyak 20 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan Pemangku Pengerusi parti itu serta sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Sokongan mereka itu dimaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi selepas mesyuarat khas Bersatu Johor di ibu pejabatnya di Kempas di sini.

Terdahulu, mesyuarat itu dihadiri 20 daripada 26 Ketua Bahagian Bersatu Johor.

Mesyuarat khas itu turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bekas Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri ketujuh.

Mereka turut menyatakan penghargaan kepada empat lagi Ahli Parlimen Bersatu iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar); Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Datuk Amirudin Hamzah (Kubang Pasu).

Keahlian mereka dan Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, mereka telah terhenti serta-merta menurut peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan parti.

Bersatu Johor juga berharap agar ahli-ahlinya akan terus kekal setia dan mengukuhkan parti di peringkat bahagian masing-masing. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close