Bekas senator Datuk Ainon Ariffin meninggal dunia
Allahyarhamah menghidap diabetes hampir 10 tahun

KUALA LUMPUR, 26 Syawal 1441H, Khamis – Bekas Senator Datuk Ainon Ariffin meninggal dunia pada usia 84 tahun akibat jangkitan paru-paru hari ini.
Menurut anak ketiganya, Rosalie Abdul Rahman, 62, ibunya meninggal dunia kira-kira 2 petang tadi di rumah Allahyarham di Lembah Keramat di sini.
Katanya, ibunya menghidap penyakit diabetes hampir sepuluh tahun sebelum menghidap jangkitan paru-paru awal tahun ini.
“Arwah sebelum ini ada menyampaikan pesanan untuk kesejahteraan anak-anak dan mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya. Ketika hidup dia banyak tolong orang,” katanya ketika ditemui di Masjid As-Sobirin Lembah Keramat di sini, iaitu lokasi jenazah dimandikan dan disembahyangkan.
Jenazah Ainon akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam As-Sobirin AU4 Lembah Keramat di sini selepas solat isyak.
Sementara itu, Rosalie berkata, ibunya menjadi Senator Dewan Negara selama dua penggal dari tahun 1986 hingga 1992 dan pernah menjadi Ketua Wanita UMNO Titiwangsa.
Ainon meninggalkan lima orang anak iaitu dua lelaki dan tiga perempuan, termasuk Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Roselindawati Abdul Rahman iaitu anak keempatnya. -Bernama