Berita Utama

Calon PM: Inikah cara kamu balas budi Anwar?

DAP, Amanah seharusnya nyata pendirian bersama Anwar

IPOH, 26 Syawal 1441H, Khamis – PKR Perak meluahkan kekecewaan terhadap rakan sekutu di dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan Amanah berhubung keputusan memilih calon Perdana Menteri kesembilan.

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, DAP dan Amanah seharusnya menyatakan pendirian untuk bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini teguh bersama-sama mereka.

Beliau berkata, selama ini Anwar berdepan pelbagai cabaran dan tohmahan sehingga dilabel terlalu liberal serta menjauhi masyarat Melayu kerana kesetiaan terhadap hubungan baik dengan DAP.

“Berhentilah bersikap terdesak. Inikah cara kamu bayar harga sebuah setiakawan yang dibina lebih 20 tahun? DAP dan Amanah sepatutnya berdiri teguh di belakang seorang lelaki yang bersama-sama mereka selama ini.

“Tindakan dan kenyataan oleh DAP dan Amanah yang tidak menyatakan pendirian bersama-sama Anwar sangat mengecewakan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke yang menggesa PKR menyatakan pendirian mengenai cadangan kombinasi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri bersama Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri mewakili PH.

Menerusi temu bual eksklusif oleh sebuah portal berita itu, Anthony mendedahkan PH turut mencadangkan kombinasi pilihan iaitu Anwar sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri namun ia ditolak Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sementara itu, Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan menegaskan bahawa tidak adil bagi mana-mana pihak memaksa Anwar untuk menerima Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Sambil mengakui PH setakat ini belum mencapai kata sepakat isu Perdana Menteri seterusnya, Nik Nazmi berkata, calon terbaik adalah Anwar sendiri susulan keperluan negara mahukan permulaan baharu dan kerajaan bersih.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close