Berita Utama

COVID-19 punca Jawi belum tentu diajar di vernakular tahun depan

Wabak sebabkan sekolah terhenti, banyak kerja KPM tertangguh

PUTRAJAYA, 26 Syawal 1441H, Khamis – Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, setakat ini masih belum ada kata putus berkenaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular pada tahun hadapan.

Beliau berkata, wabak COVID-19 telah menyebabkan sesi persekolahan terhenti dan dalam tempoh itu, sebahagian kerja-kerja di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tertangguh.

“Oleh sebab itu, belum ada kata putus berkenaan bab pembelajaran Jawi tahun hadapan,” katanya seperti dilapor Sin Chew Daily.

Hang Soon berkata, beliau sedang bekerja keras dalam membincangkan perkembangan edisi terkini bab pembelajaran Jawi dan perkembangan kurikulumnya dengan Menteri Pendidikan dalam usaha untuk mencapai persefahaman dan penyelesaian berhubung isu berkenaan.

Pada bulan Julai 2019, KPM mengumumkan penambahan bab pembelajaran Jawi dalam buku teks mata pelajaran bahasa Melayu tahun 4 di sekolah jenis kebangsaan untuk membolehkan pelajar menghargai seni kaligrafi dalam penulisan Jawi. 

Dasar ‘mengenali dan menghargai’ ini telah mengundang kontroversi dalam masyarakat Cina yang bimbang ianya akan melemahkan dan menghakis ciri-ciri Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)

Mah Hang Soon berkata, semenjak 10 Mac 2020 sebaik sahaja dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, beliau mengadakan pertemuan tanpa henti dengan Menteri Pendidikan, Pengarah Pendidikan dan jabatan yang terlibat bagi membincangkan kurikulum Jawi tahun 5 SJKC serta perkembangan dokumen standardnya.

Selain itu, katanya, mereka turut membincangkan hal-ehwal semakan dokumen standard kurikulum peperiksaan (DSKP) dan kurikulum pembelajaran Jawi dalam buku teks mata pelajaran bahasa Melayu tahun 5 SJKC untuk tahun 2021.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button