Uncategorized

Hudaibiyah bukan untuk kerakusan politik

Perjanjian damai dimeterai bagi tujuan martabatkan dakwah, Islam

1. TERDAPAT penulis yang berpandangan bahawa perdamaian di antara Mahathir dengan Anwar Ibrahim adalah seumpama perjanjian damai Hudaibiyah yang dijalankan oleh Rasulullah dengan kafir Qurasyh.

2. Analogi ini dilihat agak kurang sesuai memandangkan pihak yang menjalankan perdamaian diwakili oleh kumpulan yang berbeza. Mekah di wakili oleh kafir Quraysh, manakala Madinah diwakili oleh Rasulullah. Di antara Mahathir dan Anwar, siapa yang akan digambarkan sebagai mewakili Quraysh atau Rasulullah?

3. Kedua, perjanjian damai yang termeterai di Hudaibiyah itu adalah bagi tujuan memartabatkan dakwah dan Islam. Perhatikan apa yang diungkapkan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim dalam perihal ini:

هذه الهدنة كانت من أعظم الفتوح، فإن الناس أمن بعضهم بعضًا، واختلط المسلمون بالكفار، وبادؤوهم بالدعوة وأسمعوهم القرآن، وناظروهم على الإسلام جهرة آمنين

“Perjanjian ini adalah diantara pembukaan terbesar dalam sejarah Islam. Manusia mendapat keamanan daripadanya. Kaum Muslim dapat bergaul dengan orang kafir dan berdakwah kepada mereka, memperdengarkan mereka ayat-ayat al-Quran dan berhujah dengan mereka untuk Islam dalam keadaaan aman.” (Ibn al-Qayyim)

3.1 Dalam perjanjian antara Mahathir dan Anwar pula, adakah perdamaian ini adalah untuk kepentingan Islam, menyebarkan dakwah dan memperdengarkan rakyat dengan keagungan al-Quran?

4. Ketiga, perjanjian Hudaibiyah pada hakikatnya menggambarkan tentang pengukukan kedudukan Islam. Ini dapat difahami melalui pandangan Ibn Hisham yang menyatakan:

خرج إلى الحديبية، في ألف وأربعمائة.. ثم خرج عام فتح مكة بعد ذلك بسنتين في عشرة آلاف

“Rasulullah keluar ke Hudaibiyah dengan membawa 1400 orang tentera, kemudian keluar pada tahun Pembukaan Kota Mekah (setelah dua tahun) dengan seramai 10,000 tentera.” (Ibn Hisham)

4.1 Bererti, perdamaian yang dilaksanakan oleh Rasulullah mengukuhkan bahkan menjulang kedudukan Islam. Ia pasti tidak sama dengan percaturan politik pada hari ini yang dilihat seakan untuk kepentingan peribadi.

5. Keempat, menurut Dr. Munir Ghadban berdasarkan riwayat Urwah bin Ma’sud, Hudaibiyah menggambarkan tingginya penghormatan para Sahabit kepada Rasulullah. Urwah bin Mas’ud adalah wakil Quraysh untuk bertemu dengan Rasulullah. Apabila kembali pulang kepada Quraysh, Urwah berkata:

والله إن رأيت ملكا قط يعظمه أصحابه ما يعظم أصحاب محمد محمدا

“Demi Allah, aku tidak pernah menyaksikan seorang Raja yang sangat dihormati seperti para sahabat menghormati Rasulullah.” (HR al-Bukhari)

6. Perhatikan bagaimana episod Hudaibiyah adalah untuk memartabatkan Islam, meluaskan pengaruh dakwah dan al-Quran serta menunjukkan penghormatan yang tinggi buat Rasulullah. Hudaibiyyah bukanlah atas kepentingan politik peribadi. Jauh sekali dari kerakusan dan kegilaan manusia kepada kuasa.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close