Berita Utama

JAIS benar akad nikah secara fizikal mulai 22 Jun depan

Kehadiran dalam majlis hanya dihadkan kepada 15 orang sahaja

BANGI, 26 Syawal 1441H, Khamis – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan semua majlis akad nikah dilakukan secara fizikal di negeri ini berkuat kuasa 22 Jun depan dengan syarat-syarat tertentu.

Bagaimanapun, Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, majlis akad nikah itu hanya boleh diadakan di masjid atau di pejabat agama Islam daerah dalam kes tertentu yang dibenarkan oleh pendaftar kanan.

Selain itu, katanya lagi, kehadiran bagi majlis juga dihadkan kepada hanya 15 orang iaitu masing-masing tujuh wakil pihak lelaki dan lapan wakil pihak perempuan selain dari pengantin lelaki, pengantin perempuan dan dua saksi.

“Semua individu yang hadir pada majlis akad nikah mestilah mengikut garis panduan yang ditetapkan JAIS. 

“Semua Penolong Pendaftar Perkahwinan (PPP) hendaklah membantu serta memudahkan urusan permohonan perkahwinan seperti termaktub di bawah Seksyen 7 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Mohd Shahzihan berkata, pelaksanaan akad nikah menerusi sidang video seperti sebelum ini adalah dihentikan.

“Orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai perkara itu boleh menghubungi Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Undang-Undang Keluarga JAIS dengan menelefon 03-55143479,” katanya.

Sebelum ini, JAIS hanya membenarkan majlis akad nikah dilakukan melalui sidang video bermula 20 April lepas, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button