Berita Utama

Kerajaan belum putus cadangan laksana gelembung perjalanan

Banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum dimuktamadkan

KUALA LUMPUR, 26 Syawal 1441H, Khamis – Kerajaan belum memuktamadkan cadangan yang dikemukakan supaya gelembung perjalanan (travel bubble) dilaksanakan dengan negara-negara jiran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata ini memandangkan banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memutuskan cadangan berkenaan.

“Cadangan ini telah dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi.

“Namun kerajaan belum membuat keputusan kerana ia melibatkan negara-negara tertentu dan ada perkara yang perlu kita perlu lakukan secara dua hala sebelum kita buat pengumuman,” katanya dalam program Agenda Awani yang membincangkan tajuk ‘Fasa Pemulihan, Jana Semula Ekonomi Negara’ yang disiarkan saluran televisyen Astro Awani malam tadi.

Mustapa ditanya sama ada kerajaan akan mengikut rancangan New Zealand-Australia dan negara-negara Eropah yang melaksanakan gelembung perjalanan dalam memulihkan sektor pelancongan seterusnya ekonomi.

Bagaimanapun, rancangan New Zealand-Australia itu dilaporkan mungkin tidak dapat direalisasikan ekoran jangkitan COVID-19 baharu.

Australia juga dilaporkan tidak akan membuka semula sempadannya kepada pelancong antarabangsa sehingga tahun depan.

Antara negara ASEAN, Indonesia dan Thailand dikatakan berminat untuk membuka semula perjalanan rentas sempadan.

Gelembung perjalanan merupakan usaha menghubungkan semula negara-negara atau negeri-negeri yang telah mencapai tahap kejayaan yang baik dalam membendung wabak COVID-19 di peringkat domestik.

Pendekatan ini membenarkan kumpulan negara atau negeri menawarkan semula hubungan perdagangan antara satu sama lain, serta memulakan kembali sektor seperti pelancongan dan perjalanan.

Sekurang-kurangnya terdapat 3.5 juta pekerja langsung dan tidak langsung dalam sektor pelancongan Malaysia yang kini terjejas akibat COVID-19.

Mustapa berkata keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri memberi gambaran keadaan negara semakin pulih daripada pandemik COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button