Berita Utama

Isu Palestin: PPMM terima maklum balas dari ICC

Tiga jawatankuasa akan beri maklumat tambahan kepada ICC demi keadilan rakyat Palestin

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 18 Zulhijjah 1442H, Rabu – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menerima surat maklum balas dari pihak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung perkembangan terkini siasatan rasmi yang dilakukan mengenai penindasan dan kezaliman dilakukan rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pada 11 Jun lalu, pihaknya menulis sepucuk surat kepada Pejabat Pendakwa Raya ICC di The Hague, Belanda untuk mendapatkan kenyataan lanjut berkenaan siasatan itu.

Susulan itu, beliau memaklumkan bahawa semalam, pihaknya menerima surat maklum balas yang ditandatangani oleh Ketua Unit Informasi dan Keterangan Pejabat Pendakwa ICC, Mark P Dillon.

Dalam surat itu, Dillon berkata, keputusan untuk memulakan siasatan diambil setelah mengumpulkan maklumat tambahan dan analisis menyeluruh bagi memastikan syarat-syarat Statut Rom dipenuhi dan mendapat arahan spesifik daripada kamar pra-perbicaraan berkaitan skop bidang kuasa.

“Maklumat yang diberikan oleh PPMM akan ditambah sebagai sebahagian daripada simpanan mereka dan akan disalurkan kepada pegawai mereka untuk kajian lanjut,” kata Dillon lagi.

Sehubungan itu, Zainul Rijal berkata, PPMM yang telah menubuhkan tiga buah jawatankuasa mengenai isu Palestin akan bekerjasama bagi memberi maklumat lanjut kepada ICC dan badan lain bagi membawa keadilan kepada rakyat Palestin. 

Beliau memaklumkan, tiga jawatankasa yang telah ditubuhkan sejak Jun lalu itu adalah Jawatankuasa Isu Palestin berkaitan ICC yang diketuai Mohamed Haniff Khatri Abdulla; Jawatankuasa Isu Palestin berkaitan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang diketuai Aidil Khalid dan Jawatankuasa Kajian Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Hak Asasi Manusia mengenai isu Palestin yang diketuai oleh Abdul Rahim Sinwan.

“Jawatankuasa-jawatankuasa tersebut juga akan membuat kajian lanjut di dalam skop tugasan mereka bagi mengetengahkan isu Palestin ini ke persada antarabangsa.

“PPMM berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi kesan kepada keadilan rakyat Palestin dan mendesak kerajaan Malaysia agar terus membantu Palestin mencapai kebebasan dari cengkaman Zionis Israel,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PPMM juga merancang untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Malaysia dan masyarakat antarabangsa bagi mencapai solidariti dalam membela rakyat Palestin yang dizalimi tersebut.

Mac lalu, Ketua Pendakwa Raya ICC, Fatou Bensouda memaklumkan bahawa siasatan rasmi berhubung dakwaan jenayah perang yang dilakukan oleh Israel di wilayah Palestin dimulakan.

Menurutnya, siasatan tersebut melibatkan semua perkara yang berlaku di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza sejak Jun 2014.

Bensouda menegaskan, siasatan akan dilakukan ‘secara bebas, tidak berat sebelah dan objektif tanpa rasa takut atau pilih kasih’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button