Berita Utama

Kerajaan perlu beri kata putus isu tulisan jawi di sekolah vernakular

KPM mesti angkat bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan

BANGI, 26 Syawal 1441H, Khamis – Kerajaan dipimpin Perikatan Nasional (PN) perlu memberikan kata putus berkaitan pelaksanaan tulisan jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan kekeliruan sama ada pelaksanaan tulisan berkenaan sebagai satu pilihan atau pun wajib.

“iGuru melihat pihak KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) perlu tegas dalam mengangkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.

“Ia termasuk menjadikan elemen mempelajari tulisan jawi sebagai warisan bahasa perlu diperluaskan bukan sahaja kepada bangsa Melayu, tetapi juga bukan Melayu seperti kaum Cina dan India.

“Namun pengenalan tulisan jawi dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) ke SJKC dan SJKT perlu mengikut kaedah pengajaran yang betul dan dipermudahkan terutama yang tidak pernah mempelajari tulisan tersebut,’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Gabungan Badan Bertindak Seni Khat (Sekat) menggesa satu perjumpaan bersama Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin dengan segera.

Setiausaha Agungnya, Arun Dorasamy berkata, ia bagi membincangkan isu perlaksanaan khat-jawi yang diterapkan dalam sistem pendidikan sekolah rendah melalui mata pelajaran wajib lulus Bahasa Melayu darjah 4 sebagai suatu percanggahan dengan semangat perpaduan Bahasa Kebangsaan.

Selain itu, terdapat dua initipati lain terkandung dalam surat itu yang telah diserahkan pada Radzi pada 13 Mac lalu

Mengulas mengenai perkara itu, Ustaz Azizee menggesa KPM supaya tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang mendesak untuk menghalang usaha memartabatkan tulisan jawi, sebaliknya menggunakan pendekatan konstruktif dan koperatif dengan semua pihak.

“Ianya bagi menyokong usaha ini dengan memberikan penjelasan yang jelas selain menambah baik DSKP yang sedia ada,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, KPM perlu membezakan pelaksanaan pembelajaran tulisan jawi dan tulisan khat.

Beliau berkata, tulisan khat lebih menekankan aspek estetika dan seni penulisan yang jauh berbeza dengan tulisan jawi.

“Ia seperti kita mempelajari bahasa Cina yang berbeza dengan kaligrafi tulisan Cina,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button