Berita Utama

Majlis Penasihat Perpaduan Negara ditubuhkan

Dianggotai tokoh masyarakat, NGO, pakar dalam bidang perpaduan

PUTRAJAYA, 26 Syawal 1441H, Khamis – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menubuhkan Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) peringkat kebangsaan yang akan menasihati kerajaan dalam hal-ehwal perpaduan serta membincangkan usaha penyatuan nasional.

KPN dalam satu kenyataan hari ini berkata, MPPN juga akan mencadangkan kaedah penyelesaian terbaik kepada kerajaan untuk menangani isu dan cabaran perpaduan bagi terus mengukuhkan agenda perpaduan nasional.

MPPN dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia) Dr Mohd Radzi Md Jidin dan dianggotai oleh tokoh-tokoh masyarakat termasuk wakil badan bukan kerajaan, pihak swasta serta individu yang berpengalaman dan pakar dalam bidang perpaduan, katanya.

Keahlian MPPN dilantik oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi tempoh dua tahun, katanya.

“MPPN akan bersidang sebanyak enam kali setahun bagi membincangkan isu-isu perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Menurut KPN, MPPN disokong oleh Jawatankuasa Pelaksana Perpaduan Negara yang dipengerusikan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique di peringkat kementerian dan Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri yang dipengerusikan oleh Exco Perpaduan di peringkat negeri masing-masing.

“Langkah menubuhkan MPPN di peringkat kebangsaan dan jawatankuasa-jawatankuasa perpaduan di peringkat kementerian serta negeri adalah bagi memperkukuhkan hal ehwal perpaduan dan integrasi nasional secara bersepadu demi kepentingan rakyat dan negara Malaysia,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button