Berita UtamaDunia

Palestin beri amaran kes COVID-19 meningkat

Kementerian Kesihatan sahkan 45 kes dalam tempoh 24 jam

BAITULMAQDIS, 26 Syawal 1441H, Khamis – Menteri Kesihatan Palestin memberi amaran berlaku peningkatan kes COVID-19 di seluruh wilayah yang diduduki Israel.

Dalam satu sidang media di Ramallah, Tebing Barat, Mai al-Kaila berkata, pegawai perubatan Palestin telah mengesahkan 45 kes COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 745.

Mai berkata, seramai 570 pesakit telah pulih, manakala lima lagi maut, sejak wabak berkenaan mula dikenal pasti menyerang Palestin sejak 5 Mac lalu.

Katanya, seramai 170 pesakit telah menerima rawatan di kemudahan kesihatan.

“Jangkitan kian meningkat berikutan rakyat Palestin berusaha untuk menjadikan kehidupan normal seperti dahulu, terutama sektor ekonomi dan kesihatan. Tetapi, protokol kesihatan tidak dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Palestin untuk mematuhi penjarakan sosial selain memakai pelitup muka.

Katanya, kes juga akan meningkat sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil perhatian.

Pada masa sama, Mai berkata, Tebing Barat tidak akan dikenakan Perintah Berkurung sepenuhnya.

April lalu, Ketua Delegasi Parlimen Eropah untuk Hubungan dengan Palestin, Manu Pineda menyeru Kesatuan Eropah (EU) untuk menekan rejim pengganas Israel membatalkan kesemua sekatan di wilayah yang diduduki di Palestin, berikutan penularan wabak COVID-19. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button