Berita Utama

Tun M akan terus berpolitik selagi ada sokongan

Rampas Putrajaya PAN-DAP boleh kompromi, tapi Anwar tersepit teruk

BANGI, 26 Syawal 1441H, Khamis – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus berpolitik selagi ada pihak yang menyokongnya. 

Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, tokoh berusia 95 tahun itu hanya akan berhenti berpolitik jika sudah tidak mendapat sokongan daripada mana-mana pihak.

Dalam konteks Pakatan Harapan Plus pula, kata Ustaz Abdullah, Dr Mahathir masih membabitkan diri dalam percaturan kerana peluang Datuk Seri Anwar ke Putrajaya sudah terkubur terus.

Terutama sekali tanpa sokongan Ahli-Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Warisan Sabah (Warisan), katanya.

“Untuk ke Putrajaya semula, Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP boleh berkompromi dengan Dr Mahathir, tetapi tinggal Anwar yang tersepit teruk.

“Mungkin ada hasrat peribadi yang mahu dicapai sebelum dia bersara atau dia betulkan ‘ending’ sebagai politikus terbilang apabila silap buat perhitungan ketika meletak jawatan sebelum ini,” katanya.

Selasa minggu lalu, satu mesyuarat bersama pimpinan PH Plus berlangsung di ibu pejabat PKR dipengerusikan Anwar selaku Presiden PKR dengan panel utama terdiri daripada Dr Mahathir dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Turut menyertainya, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selain kepimpinan tertinggi setiap parti.

Akhbar tempatan melaporkan, perbincangan berkisar pendirian setiap parti dalam soal mendapatkan semula mandat rakyat menjadi agenda utama.

Mesyuarat itu juga dikatakan bagi mencapai persetujuan bersama berhubung calon Perdana Menteri pakatan politik itu, namun tiada kata putus diumumkan setelah tamatnya mesyuarat kira-kira tiga jam itu.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbincangan mengenai calon Perdana Menteri PH yang sepatutnya diumumkan semalam masih belum dimuktamadkan dan akan diumumkan selepas keputusan dicapai.

Sementara itu, Anthony Loke berkata, Dr Mahathir mencadangkan beliau diberi enam bulan untuk memimpin sebelum menyerahkannya kepada Anwar.

“Bagi kami, dua pilihan telah pun dibincangkan oleh PH, dan pendirian alternatif (fallback position) kami adalah untuk Mahathir memimpin dan kemudian Anwar mengambil alih selepas satu sela masa.

“Selepas keputusan itu, kami memutuskan bahawa kini terpulang kepada Anwar sama ada beliau setuju atau tidak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button