Berita Utama

Tun M calon PM ke-9 bukti ada parti Melayu dalam PH Plus

Jika tidak, beliau khuatir ahli Parlimen Melayu tidak beri sokongan

PUTRAJAYA, 27 Syawal 1441H, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan Parti Warisan Sabah (Warisan) berpendirian beliau harus dicalonkan sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) Plus bagi menunjukkan parti Melayu sebahagian gabungan itu.

Dalam satu wawancara eksklusif bersama portal berita Malaysiakini, Dr Mahathir dipetik berkata, beliau khuatir ahli Parlimen Melayu tidak akan memberi sokongan kepada PH Plus jika gabungan itu seolah-olah bersifat parti campuran pelbagai kaum.

Menurutnya, sekiranya sokongan diterima ahli Parlimen Melayu, usaha gabungan parti pembangkang itu untuk menjadi kerajaan mustahil.

“Nak jadi Perdana Menterikah, nak jadi apa pun tetapi kalau tak dapat sokongan (ahli Parlimen kaum Melayu) tak dapat jadi kerajaan.

“Pemilihan (calon) sebagai Perdana Menteri pun tak ada makna. Bukan calon yang penting, tapi kemenangan mendapat majoriti yang penting.

“Saya tak boleh guarantee (jamin), tapi itu pengalaman kita, bila tak ada sokongan parti titik Melayu, parti lawan tak pernah menang,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif bersama portal berita tempatan itu turut memberi jaminan akan sentiasa menunaikan janjinya apabila sampai waktunya.

“Kalau sampai masa saya janji, saya akan tunaikan janji.

“Boleh semak saya punya kelakuan sejak saya jadi Perdana Menteri bahkan sebelum itu, saya tak pernah mungkir janji,” katanya.

Dr Mahathir turut mengambil contoh keputusan beliau mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri pada tahun 2002 sebagai bukti kesediaan beliau menepati janji.

“Pada masa itu, (Penasihat DAP) Lim Kit Siang berkata saya tak mungkin letak jawatan. Ini semua sandiwara. Tapi seperti mana yang kita tahu, sampai masa yang cukup, saya letak jawatan. Saya tak pernah mungkir janji. Tunjuk di mana saya mungkir janji?” katanya.

Dr Mahathir turut dilaporkan mengulangi jaminan akan berundur dari jawatan Perdana Menteri setelah Sidang Kemuncak Asia Pasifik (APEC) yang dijadualkan berlangsung pada bulan November hadapan.

“Walaupun APEC mungkin tidak diadakan, tapi lepas APEC, iaitu akhir tahun ini, saya akan letak jawatan.

“Tetapi saya yakin bahawa perkara-perkara yang perlu dilakukan, saya boleh tunjuk cara-cara untuk melakukannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close