Berita Utama

3 perkara utama tangani impak COVID-19: Hishammuddin

Beri tumpuan untuk mengekang, meredakan serta menumpaskannya

PUTRAJAYA, 27 Syawal 1441H, Jumaat – Membasmi COVID-19, memulihkan semula kegiatan ekonomi dan meningkatkan kerjasama antarabangsa — adalah tiga perkara utama akan diberi tumpuan untuk mengekang, meredakan dan menumpaskan COVID-19 dan limpahan impak disebabkan pandemik itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Mengetengahkan tiga perkara utama itu pada Sidang Video Peringkat Tinggi mengenai Kerjasama Jalur dan Laluan Antarabangsa (BRI) pada Khamis petang (18 Jun) bertema ‘Memerangi COVID-19 Dengan Solidariti’, Hishamuddin berkata COVID-19 tidak mendiskriminasi dan akan menjejaskan semua orang dalam laluannya, tanpa mengira sempadan, kekayaan atau kuasa.

Dalam membasmi COVID-19, katanya terdapat dua perkara bagi negara yang terbabit perlu utamakan – perubatan untuk merawat mereka yang dijangkiti dan vaksin diperlukan untuk memastikan pencegahan pada jangkitan di masa depan.

“Dalam tempoh beberapa bulan lepas, kami mengadakan perbincangan dengan sahabat dan rakan kongsi di seluruh dunia untuk berkongsi amalan terbaik dan maklumat untuk mencegah, mengawal dan merawat COVID-19, tetapi untuk benar-benar dapat mengisytiharkan kemenangan ke atas COVID-19, kita perlukan ubat dan vaksin yang boleh didapati, diakses dan samarata untuk semua negara,” katanya.

Hishammuddin berkata Malaysia menyokong penuh ikrar Presiden China Xi Jinping pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-73 di Geneva bahawa China akan memastikan vaksin COVID-19 “diagihkan kepada orang awam di seluruh dunia”, sebaik sahaja ia berjaya dihasilkan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button