Berita UtamaDunia

Houthi Yaman serang kapal tangki minyak British

Serangan berlaku hari sama AS tembak jatuh peluru berpandu

SAANA, 15 Rejab 1445H, Sabtu – Kumpulan Houthi di Yaman mendakwa serangan peluru berpandu menyebabkan kebakaran kapal tangki minyak Britain di Teluk Aden.

Serangan kumpulan yang disokong Iran itu adalah serangan terbaharu ke atas perkapalan antarabangsa.

“Kapal tangki minyak British, Marlin Luanda, terkena peluru berpandu yang ditembak oleh tentera laut Yaman.

“Serangan itu secara langsung, dan mengakibatkan (dalam) kapal itu terbakar,” kata jurucakap tentera kumpulan Houthi, Yahya Saree.

Serangan itu berlaku pada hari sama tentera AS melaporkan salah satu kapal perangnya menembak jatuh peluru berpandu yang dilepaskan oleh kumpulan itu, yang bertindak menyokong rakyat Palestin di Gaza di tengah-tengah perang Israel-Hamas.

Tentera AS dan British telah melancarkan dua pusingan serangan bersama bertujuan mengurangkan keupayaan Houthi menyasarkan kapal yang transit di laluan utama perdagangan maritim Laut Merah.

Washington juga melakukan beberapa siri serangan udara unilateral dan Houthi berikrar untuk meneruskan serangan mereka.

Operasi Maritim United Kingdom tentera British, yang menyelia laluan air Timur Tengah mengakui sebuah kapal terkena peluru berpandu dan terbakar di Teluk Aden.

Houthi mula menyasarkan perkapalan Laut Merah pada November, mengatakan mereka menyasarkan kapal yang berkaitan dengan Israel untuk menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.

Mereka turut mengisytiharkan kepentingan AS dan British sebagai sasaran yang sah.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button