Berita UtamaDunia

Pasar basah Xinfandi dipercayai pusat COVID-19 baharu China

Lebih ramai penjual makanan laut dijangkiti pandemik itu

BEIJING, 27 Syawal 1441H, Jumaat – Pihak berkuasa China melakukan tinjauan ke gerai makanan laut di sebuah pasar di Beijing yang didakwa menjadi pusat penularan semula wabak COVID-19.

Tinjauan itu juga dilakukan selepas pakar kesihatan terkemuka mendakwa, terdapat persamaan di antara situasi pasar makanan borong Xinfandi itu dengan pasar di Wuhan ketika kemunculan awal pandemik itu pada akhir tahun lalu.

Ketua Ahli Epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Wu Zunyou pada Khamis memberi perincian bahawa, kes terbaharu COVID-19 di Beijing kebanyakannya mempunyai kaitan dengan pasar Xinfandi.

Sebelum ini, Beijing bebas daripada kes baharu COVID-19 selama 55 hari.

Bagaimanapun, angka rasmi menunjukkan terdapat 158 kes baharu dicatatkan pada Rabu.

Pasar Xinfandi muncul sebagai pusat penularan COVID-19, selepas pesakit pertama dikesan membeli ikan di situ disusuli dengan lebih banyak kes, yang mempunyai kaitan dengan pasar di daerah Fengtai itu.

Para penyiasat mengenal pasti kes-kes baharu berdasarkan jenis pekerjaan dan tarikh jangkitan, selain mendapati peniaga makanan laut adalah antara yang teramai dijangkiti wabak berkenaan.

“Lebih ramai penjual makanan laut dijangkiti COVID-19, diikuti oleh penjual daging lembu dan kambing.

“Penjual makanan laut juga menunjukkan gejala lebih awal daripada yang lain,” kata Wunyou.

Wunyou berkata, sampel persekitaran yang diambil daripada pasar Xinfandi turut menunjukkan kedai makanan laut, daging lembu dan kambing mempunyai lebih banyak kes baharu berbanding yang lain. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button