Berita Utama

Penjawat awam Singapura tiada bonus pertengahan tahun

Potongan gaji bagi gred superscale antara 0.5 hingga 1 bulan

SINGAPURA, 27 Syawal 1441H, Jumaat – Kerajaan Singapura memutuskan tiada bayaran komponen berubah tahunan (AVC) pertengahan tahun bagi kakitangan awam pada tahun ini, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) republik itu.

Selain itu, PSD berkata penjawat awam gred superscale akan menerima potongan gaji sekali antara 0.5 hingga 1 bulan, berdasarkan kekananan mereka.

“Ini berikutan potongan gaji yang diumumkan sebelum ini sebanyak 0.5 bulan terhadap pegawai kanan perkhidmatan awam dalam kedudukan kepimpinan utama, yang diumumkan pada Februari 2020,” menurut PSD dalam laman sesawangnya hari ini.

PSD berkata langkah itu mengambil kira saranan Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) yang dilancarkan pada Mac lepas, menggesa majikan dan pekerja memainkan peranan masing-masing, dengan pihak pengurusan membantu mengurangkan kos dan mengekalkan pekerjaan.

Menurut PSD keputusan itu dibuat berikutan keadaan ekonomi yang semakin suram dan hasil rundingan rapat dengan kesatuan sektor awam.

PSD menyatakan pandemik COVID-19 telah mempengaruhi keadaan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelum ini secara luaran dan domestik.

Memetik anggaran terkini Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, PSD berkata kementerian itu telah menurunkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 republik itu kepada “-7.0% hingga -4.0%”, daripada ramalan awal “-4.0% hingga -1.0%”.

“Pasaran tenaga kerja juga mencatatkan penurunan. Jumlah pekerjaan (tidak termasuk pekerja domestik asing) bagi suku pertama 2020 telah menguncup secara mendadak. Jumlah pengangguran pemastautin dan warganegara terus meningkat pada Mac 2020, manakala pemberhentian pekerja meningkat pada suku tersebut.

Perkhidmatan Awam Singapura mempunyai kira-kira 146,000 pegawai di 16 kementerian dan lebih 50 Lembaga Badan Berkanun serta 85,000 anggota penjawat awam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close