Berita Utama

PKR tolak cadangan Dr M sebagai PM

Parti itu kekal dengan konsensus PH calonkan Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 28 Syawal 1441H, Jumaat –  Cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ditolak oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sebaliknya, parti itu telah sebulat suara membuat keputusan untuk kekal dengan konsensus Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Dalam satu kenyataan, MPP PKR berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat khas hari ini, bersama ahli-ahli Parlimen parti berkenaan bagi membincangkan kemelut memilih calon perdana menteri sekiranya PH kembali mentadbir negara.

“PKR tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.

“Walau bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Pada masa sama, parti itu menegaskan bahawa ia komited untuk mengukuhkan PH selain meneruskan usaha menggembleng tenaga dari semua pihak yang sefahaman, untuk mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya dalam masa terdekat.

Jelasnya, PKR telah bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum mengejut yang mungkin dipanggil pada bila-bila masa.

Sebelum ini, DAP pada Rabu telah membuat keputusan untuk menyokong Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH, sementara Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, parti itu sudah membuat keputusan dan mahu PKR untuk membuat keputusan dengan segera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button