Berita Utama

Seludup PATI: Mungkinkah golongan VVIP ketua petualangnya?

Libat rangkaian kompleks dari tekong hingga pasukan keselamatan

BANGI, 27 Syawal 1441H, Jumaat – Laporan bahawa seramai 18 individu termasuk pegawai kanan polis dan tentera ditahan dalam beberapa siri operasi kerana disyaki bersengkongkol dengan sindiket penyeludupan manusia menimbulkan pelbagai persoalan.

Sindiket yang ditumpaskan dan melibatkan pegawai penguat kuasa dari pelbagai agensi itu sudah mengaut keuntungan lebih RM60 juta hasil penyeludupan keluar dan masuk puluhan ribu warga asing sejak enam tahun lalu.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Zainur Rashid Zainuddin mendakwa, sindiket sebegini biasanya melibatkan banyak pihak seperti tekong yang membawa pendatang asing.

Seterusnya, kata beliau, ‘taukeh’ atau penaja dari Malaysia yang mendanai pengambilan mereka sebagai pekerja kerana gaji lebih murah.

Selain itu, katanya lagi, orang dalam melibatkan pihak keselamatan sama ada polis, tentera atau Jabatan Imigresen Malaysia.

“Tidak terhenti di situ sahaja bahkan ada pihak yang menguruskan pengangkutan dan penginapan persembunyian mereka sehingga sampai ke destinasi target mereka.

“Dalang utama keseluruhan yang mungkin melibatkan pembesar atau tokoh yang mempunyai hubungan dengan VVIP bagi menjayakan projek ini berjalan tanpa diganggu pihak keselamatan. (Ini yang paling sukar untuk ditembusi).

“Justeru, siapakah sebenarnya dalang atau ketua petualang kepada pengkhianatan ini,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau menegaskan, sindiket ini perlu dibongkar bagi mengelakkan ia menjadi barah dalam negara.

“Mereka yang terbabit mesti didedahkan. Mereka yang bersalah mesti dikenakan hukuman yang berat kerana tidak amanah sehingga menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua pegawai yang ditahan termasuk mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dalam satu operasi yang dijalankan selama tiga hari sejak Isnin, kini disiasat berhubung pembabitan dalam sindiket penyeludupan manusia rakyat Indonesia melalui lorong tikus menggunakan jalan laut di negeri itu.

Ayob berkata, kesemua mereka bukan sahaja membocorkan maklumat operasi pihak berkuasa tetapi juga memainkan peranan melindungi pendatang asing.

“Ada yang terbabit dalam sindiket sejak 2017 dan ada juga yang baru menyertai kumpulan sindiket ini. Mereka juga melindungi pendatang asing yang diseludup keluar dan masuk ke Malaysia dalam laluan – Malaysia ke Batam, Indonesia,” katanya.

Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 24 dan 41 tahun yang disiasat di bawah Seksyen 130V hingga Seksyen 130ZB BAB VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close