Berita Utama

Semua pihak diseru sokong kerajaan diterajui Muhyiddin

Seruan dinyatakan oleh gabungan 115 ilmuwan PhD IPT

KUALA LUMPUR, 27 Syawal 1441H, Jumaat – Gabungan 115 ilmuwan doktor falsafah (PhD) institusi pengajian tinggi (IPT) menyeru semua pihak memberi penghormatan dan sokongan kepada kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan hari ini, gabungan itu turut menyeru semua pihak supaya akur kepada sistem politik Malaysia yang berteraskan kedaulatan raja-raja, keluhuran Perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta menghentikan sebarang propaganda dan usaha yang boleh menggugat kestabilan politik demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara terpelihara.

“Kami menyeru semua pihak mengangkat tinggi nilai kemanusiaan dan keagamaan, melaksanakan urus tadbir yang baik serta memastikan kontrak sosial dan peruntukan teras Perlembagaan Persekutuan, khususnya identiti nasional kita yang berlandaskan identiti Melayu-muslim, dipatuhi pada setiap masa.

“Justeru, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang amat tegas bagi menjaga perpaduan dalam kalangan semua rakyat serta bagi memelihara keamanan dan keharmonian negara, termasuk dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada dan memperkenalkan undang-undang baharu bagi menghukum penggugat kestabilan,” menurutnya seoerti dipetik Berita Harian.

Menurut kenyataan itu lagi, parti politik yang membentuk kerajaan perlu bergabung secara rasmi di dalam wadah Perikatan Nasional (PN) yang perlu didaftarkan bagi membolehkan ia berfungsi dengan lebih berkesan dalam mencari penyelesaian kepada segala permasalahan rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Selain itu, semua parti politik yang membentuk barisan pembangkang diseru bergabung secara rasmi di dalam wadah Pakatan Harapan (PH) dan membentuk kabinet bayangannya sendiri bagi membolehkan ia berfungsi dengan lebih berkesan di dalam memainkan peranan semak dan imbang yang sihat dan membina kepada kerajaan semasa.

Gabungan 115 ilmuwan PhD terdiri daripada dua Profesor Emeritus, 21 Profesor, 35 Profesor Madya dan 57 pensyarah kanan.

Antaranya adalah, Felo Penyelidik Utama LESTARI-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo; pakar arkeologi, Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh serta penganalisis politik dan perundangan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button