Berita Utama

Sindiket jual dokumen saringan COVID-19 palsu tumpas

Dokumen boleh didapati pada harga RM120 setiap satu

SHAH ALAM, 28 Syawal 1441H, Jumaat – Sindiket yang dipercayai aktif menjual dokumen ujian saringan COVID-19 palsu dengan harga RM120 tumpas dalam tiga serbuan di sekitar daerah ini dan Klang sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, hasil maklumat orang awam dan risikan, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Sri Muda, Shah Alam kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, polis berjaya menahan seorang lelaki.

“Suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi dipercayai berperanan sebagai runner untuk mencari pelanggan warga asing atau majikan yang menggajikan warga asing bagi dengan menawarkan dokumen palsu terbabit,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek, pihak polis kemudiannya berjaya menyerbu sebuah lagi rumah di Klang kira-kira jam 9 malam pada hari yang sama.

“Dalam serbuan tersebut, dua lelaki warga India dan seorang lelaki berstatus taraf penduduk tetap (PR) yang disyaki memainkan peranan mengubah suai keputusan ujian COVID-19 telah diberkas,” katanya.

Baharudin berkata, dalam serbuan ketiga di sebuah premis perniagaan di Pelabuhan Klang kira-kira jam 3 petang semalam pula, polis berjaya memberkas seorang wanita warga India.

Katanya, turut dirampas dokumen makmal ujian saringan COVID-19, peralatan komputer, mesin pencetak serta telefon bimbit.

Tambahnya, selain itu, pihaknya juga mengesyaki sindiket terbabit terlibat dalam jenayah pemalsuan pasport dan visa.

“Ini susulan penemuan pasport dan visa pelbagai negara yang kita syaki adalah palsu,” katanya.

Jelas Baharudin, sindiket terbabit dipercayai aktif di sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjual dokumen berkenaan dengan harga RM120 sekeping.

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang didalangi suspek lelaki berstatus PR itu.

“Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 58 tahun telah direman untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan, Seksyen 55 (D) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button