Berita Utama

Tarikh akhir bayar cukai tanah, petak di W. Persekutuan dilanjut

Dilanjutkan selama 6 bulan dari 31 Mei kepada 30 November

KUALA LUMPUR, 27 Syawal 1441H, Jumaat – Tarikh akhir bayaran Cukai Tanah dan Cukai Petak bagi tahun 2020 di seluruh Wilayah Persekutuan dilanjutkan selama enam bulan dari 31 Mei kepada 30 November, tanpa dikenakan sebarang denda lewat.

Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Che Roslan Che Daud dalam kenyataan hari ini berkata pelanjutan tarikh akhir bayaran itu terpakai dan berkuat kuasa serta-merta di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau berkata kerajaan memahami situasi ekonomi semasa serta kedudukan kewangan semua pihak yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Inisiatif prihatin ini akan dapat memberi manfaat kepada sejumlah 298,405 pembayar Cukai Tanah dan Cukai Petak dalam kalangan warga kota di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

“Keputusan ini sudah pastinya memberi kelegaan kepada orang ramai berikutan mereka mempunyai masa yang lebih panjang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai selaras dengan Kanun Tanah Negara 1965,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close